Friday, June 24, 2011

Biasa saja..tapi...~

22 Jun 2011/ 10:40 - Klinik Ortopedik, HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan)

Hurm...Sementara menunggu ibu diperiksa dalam bilik rawatan, mata hanya tertumpu pada jam di tangan. Buku apa pun tak bawak, notis-notis di dinding berkaitan ortopedik, osteoporisis, osteoartritis, kes-kes berkenaan dah biasa ditatap, penat duduk di bangku memerhati orang lalu-lalang lagi-lagi doktor yang ke sana ke mari (pening juga dibuatnya - masuk bilik yang ini, keluar melalui bilik yang itu, pening, pening, pusing). Tunduk. Melihat jam. Bukan bertujuan mengira detik, tapi memerhati setiap detikan jarum.


Jarum di jam ada 3; yang paling panjang berfungsi sebagai penggerak dan penghitung detik saat, yang sedang-sedang bergerak tersangat perlahan, yang paling pendek bergerak lambat dari jarum yang paling panjang tetapi cepat dari jarum yang sedang-sedang saiznya. Apa yang penting, kedua-dua jarum tersebut mengikut saja arah detikan jarum yang paling panjang, jarum utama.

Jarum yang paling panjang bergerak laju. Ternampak bayang-bayangnya. Tak ketinggalan, tak juga terlambat, serentak pergerakannya. Walaupun banyak pusingan yang dibuat, tetap juga jarum panjang tak 'bertemu' bayang-bayangnya. Ia bergerak sendirian diikuti bayang-bayang yang tak dapat disentuhnya. Tapi sedar-sedar saja, jarum pendek dan jarum yang sedang-sedang saiznya bergerak perlahan, dekat dengan bayang-bayang mereka. Sedar-sedar saja sudah jam 12 tengahari tepat! Tetap juga jarum panjang bergerak mengelilingi nombor 1 - 12, masih mengejar bayang-bayangnya.

Kesimpulan:
Boleh dapat banyak pengajaran daripada pemerhatian tadi. Secara peribadinya, saya sedar beberapa perkara...

1 - Jarum panjang ibarat perbuatan yang kita kerjakan. Misalnya, menyiapkan satu-satu tugasan. Kita bertungkus-lumus manfaatkan segala ruang dan kesempatan yang ada (mengejar bayang-bayang). Tanpa kita sedari, hanya sebahagian kecil saja yang baru siap. Sepertinya, meletakkan usaha yang lebih untuk satu-satu perkara yang sia-sia walaupun tugasan yang ingin disiapkan itu penting. Macam mana boleh jadi macam tu??

Mungkin benar kata Hasan Al-Banna bilamana beliau pernah menyebut bahawa tugas-tugas da'ie itu jika ingin disenaraikan dalam kertas, nescaya tak cukup kertas yang ingin diguna pakai kerana tak terhitung banyaknya tugas-tugas sebagai da'ie. Kalau kita senaraikan 10 perkara kita ingin lakukan, mungkin mudah untuk dicoretkan di atas kertas, tapi tak mudah untuk melaksanakannya. Hasilnya, mungkin 1% saja yang mampu dilaksanakan walaupun setangkas mana kita bekerja.

2 - Bercakap tentang bayang-bayang, nyata yang dekat dengan bayang-bayanglah selalunya beroleh kejayaan. Dalam erti kata lain, seperti pepatah yang berbunyi 'berpijak di bumi yang nyata'.

Jarum panjang terlalu terkejar-kejar walhal ia tidak menerima sebarang saingan. Bayang-bayangnya juga jauh darinya. Berbeza dengan jarum pendek dan yang sedang-sedang saiznya, selalu dekat dengan bayang-bayang masing-masing.

Kita boleh simpulkan, dalam apa yang kita lakukan, setiap pikulan amanah itu haruslah sentiasa dekat dengan kita. Supaya tidak keciciran. Mana ada manusia yang sempurna, bahkan fitrah kita semua adalah pelupa. Bayang-bayang itu adalah sebagai peringatan agar kita tak terbabas dari landasan hidup kita.

3 - Laju atau lambat bukan penentu kejayaan. Sebaliknya fokus. Misalnya ada orang lambat belajar, ada orang cepat belajar. Kalau lambat belajar, kena fokus supaya cepat belajar. Kalau cepat belajar, kena fokus supaya mudah belajar.

Begitu juga keadaanya dengan jarum panjang tadi. Lajunya mengelilingi putaran beribu kali tapi detiknya untuk setiap jarum pendek berdetik hanya untuk 1 minit. Berbeza pula dengan 1 minit, sekurang-kurangnya ia berjaya menyudahkan 1 minit walaupun lambat.

4 - Bergantung kepada bidang pekerjaan - contohnya di hospital, doktor perlu titik beratkan masa kerana ia adalah penentu nyawa seseorang. Lain-lain, mungkin ada masa untuk berfikir.

5 - Tepat masanya! - Teringat tentang soal kematian yang mana takkan tercepat walau sesaat, takkan terlambat walau sesaat. Ini memang tak dapat disangkal lagi. Bila dah tertulis, ianya boleh jadi pada bila-bila masa, di mana saja, tanpa mengira usia.

Teringat tentang soal jodoh, seperti yang tertulis di Luh Mahfuz, bila tiba waktunya, maka akan datanglah ia tanpa dipinta. Sebab itu, kebanyakan orang bertemu jodoh mengakui bahawa mereka tak terfikir @ tak menyangka jodoh sampai awal dsb nya. Ada juga yang terkejut kerana hati yang tiba-tiba memberi jawapan "Ya". Seperti kematian, jodoh juga boleh 'singgah' pada bila-bila masa, di mana saja, tanpa mengira usia. 

Teringat tentang ganjaran/ balasan/ rezeki yang mana kita akan dapat selaras dengan apa yang diusahakan. Sebagai seorang muslim, kita percaya, sekiranya terlambat, mungkin kita sedang diuji, mungkin juga ada keburukan sekiranya satu-satu perkara itu didatangkan kepada kita pada waktu itu, dsb nya. Tapi, selalu teringat orang sebut-sebut "A successful person always come at the right time, the right situation/condition, and at the right place". Betul ke?

Teringat tentang hidayah, ada yang kata perlu dicari, ada yang kata ia datang sendiri. Walau bagaimanapun, tetap sama seperti hal mati dan jodoh tadi - hamba-hambaNya yang terpilih tanpa mengira usia, status, asal usul, boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana jua.

6 - Dari segi pemikiran - Apalah gunanya kalau pemikiran ke hadapan tetapi sikap masih ke belakang lagi? Bermakna, idea kita bagus, mungkin dapat membantu menyelesaikan banyak masalah orang lain juga, tetapi pelaksaannya tidak sebagus idea yang dilontarkan. Mungkin disebabkan oleh ketidakpakaran mengurus diri, masa, dan kerja. Bukan itu saja, sikap yang tidak matang seperti malas, acuh tak acuh, menampakkan lagi kelemahan diri.

7 - Dari segi ilmu - Apalah gunanya banyak membaca, tapi tak amalkan isinya? Membaca kerana sekadar hobi, mengisi masa lapang tapi kalau bahannya tidak mendatangkan faedah, samalah juga keadaanya seperti jarum pendek yang bergerak hanya 1 minit saja setelah jarum panjang mengelilingi angka 1 - 12 berkali-kali.

8 - Tentang hidup - Jam mungkin boleh beri satu analogi untuk "hidup perlu diteruskan". Ke depan bermakna majukan diri. Tiada istilah ke belakang. Kecuali kalau manusia itu sendiri yang putarkan jamnya ke belakang. Siapa yang tentukan semuanya?

Sebagai contoh, bila kisah silam berulang, kita ada dua pilihan, kembali atau melupakan. Sungguh, kembali itu adalah ke belakang dan melupakan itu adalah ke depan. Apa-apapun, hitunglah baik buruknya terlebih dahulu supaya mudahlah juga bagi kita untuk mengambil keputusan. Boleh jadi kembali itu adalah jalan kebahagiaan, boleh jadi melupakan itu juga jalan kebahagiaan.

9 - Dari segi kepimpinan - Jarum panjang bertindak sebagai pemangkin 'mengajak' jarum yang lain bergerak. Mungkin agak lambat, tetapi ia tetap ikut bergerak. Pemimpin mana yang tidak punya pengikut? Walau sesat macam mana pun seseorang pemimpin itu, pasti ada pengikut. Kalau tak, tiadalah label "pemimpin" itu pada dirinya.

Jarum panjang turut berfungsi seperti seorang pemimpin yang menjadi contoh terbaik buat anak-anak buahnya. Sekalipun dia tidak minta untuk dicontohi, pasti ada yang menjadikannya ikutan @ idola kerana mengaguminya. Jadi, perlahan-lahan orang ikut caranya, untuk kecapi kejayaan yang sama.

Tak hairanlah dunia hiburan ada artis-artis tertentu sebagai pemangkin buat peminat hiburan meminati bidang lakonan, nyanyian, tarian dsb nya. Tak hairanlah dunia politik ada imej-imej tertentu sebagai pemangkin buat pengikut parti. Tak hairanlah dunia bisnes ada wajah-wajah berpangkatkan Dato', Datuk, dengan kesenangan dan kemewahan sebagai pemangkin buat para usahawan muda. Banyak lagi....

10 - Tidak sia-sia - Bila hidup selalu berpandukan arah yang betul, terbabas macam mana pun, ianya masih mengikut arah yang betul. Kerana sebagai muslim, kita percaya, jatuh bangun dalam mencari redhaNya itu adalah satu perkara yang tak mungkin sia-sia. Pasti ada hikmah.

11 - Bila bateri jam mati/ terhenti - Maka tiadalah apa-apa. Terhentilah segala-galanya. Jarum yang utama tidak bergerak, maka jarum-jarum yang lain juga turut tidak bergerak. Barangkali dalamnya berlaku kerosakan yang bersifat kekal atau sementara.

Mungkin boleh juga dikaitkan dengan hati dan akhlak manusia. Sekiranya hati bersih, maka setiap perilaku terjaga. Setiap detik jam ibarat getar zikir yang terus-terusan dilantunkan tanpa henti. Pahala dikumpul sedikit demi sedikit. Sebaliknya, sekiranya hati kotor, maka setiap perilaku tak terpelihara. Setiap detik jam ibarat mengejar dunia dan nafsu yang terus-terusan minta dipenuhi. Dosa melekat sedikit demi sedikit.

Andai saja Allah mahu menguji hamba-hambaNya, diizinkan semua yang baik dan yang buruk itu mudah dilaksanakan. Kerana Dia Tuhan yang berhak menguji. Berhati-hatilah memilih jalan terangmu, atau jalan gelapmu.

allahualam ~

p/s: Biasa saja..tapi...punya hikmah...