"Macam mana ni? Saya masih belum ada calon."
"Tak boleh macam ni. Kena cepat-cepat cari seorang ni! Dah dapat, tak nak tangguh-tangguh dah, nak ajak kahwin."
"Dia terlalu baik, saya jahat, saya tak layak untuk dia. Lagipun, ramai kawan-kawan dia yang lebih sesuai untuk dia. Siapalah saya ni..."
"Saya suka dia, dia pun pernah akui dia suka saya. Tapi, saya sedikit terkilan bila dia asyik minta tempoh untuk masuk meminang. Alah, masuk jelah meminang dulu. Sekurang-kurangnya saya tahulah, saya ni confirm akan kahwin dengan dia nanti."
"Entahlah....saya tak tahulah kenapa sikap dia macam tu bila setiap kali saya sebut pasal kahwin. Hm, saya takut saya dipermainkan, dia tu ramai peminat. Entah-entah dia layan semua, katakan cinta, sayang pada mereka macam dia kata pada saya."
"Bila cakap pasal kahwin je, dia terus diamkan diri, ubah topiklah, itulah, inilah. Adaaa je alasan dia."
"Kalau awak tak lamar saya akhir tahun ni jugak, kita putus! Saya cari yang lain!"
Hm, banyak sungguh luahan keluh kesah yang boleh juga dikatakan berbunyi putus asa, mengancam, keliru, berburuk sangka, terlalu kelam kabut, tak yakin (ragu-ragu), dan sebagainya. Minta maaf kalau saya katakan luahan-luahan di atas ini banyak datangnya dari perempuan atau wanita. Saya perempuan, saya juga tak terlepas dari melalui dan memikirkan benda yang sama.
Tetapi, perlu diingat, bukanlah bermaksud seorang lelaki itu berdalih kerana dia tak sukakan kita, ada teman yang lain, ataupun bermaksud memainkan perasaan kita. Barangkali, mereka (lelaki) berdalih kerana merasakan belum masanya untuk berbincang soal nikah yang dianggap serius. Dan barangkali juga, bagi lelaki yang betul-betul beriman, mereka berdalih kerana merasakan itu adalah satu tanggungjawab yang memerlukan komitmen yang tinggi dalam berbagai aspek. Apatah lagi, ianya akan menjadi bekalan ibadat dan itu bakal disoal di akhirat nanti. Kerana seorang lelaki yang bergelar anak, suami, bapa, dan ketua, dialah pemimpin keluarganya (ibu bapa dan adik-beradik), keluarga sendiri (isteri dan anak-anak), ketua di tempat kerja (walaupun dasarnya dia orang bawahan). Paling penting, pemimpin dalam institusi keluarganya (juga keluarga kedua-dua pihak selepas berkahwin).
Macam nilah ya...Mungkin ada antara kita yang perempuan ni terlalu turutkan emosi. Tapi, tak apa, fitrah perempuan. Cumanya tak salah kan kalau kita ambil langkah yang positif dalam memahami golongan lelaki ni.
Sungguh!
Perkahwinan itu telah diistilahkan sebagai satu medium yang membolehkan pasangan suami isteri mengambil keseronokan di antara satu sama lain berdasarkan cara-cara yang dibenarkan syara' (Mohd Saleh, 2009). Bunyinya indah. Mungkin sebab tu, ramai perempuan beriya-iya nakkan saat bersama suami. Mana taknya, semuanya ditanggung halal; boleh berjumpa anytime, boleh berdating, boleh shopping, tengok wayang sama-sama. Siap pimpin tangan lagi. Peluk-peluk, cubit-cubit pun dah tak perlu nak segan-segan, pedulilah apa kata orang. Kan? Begitu kan? Hm, kalau begitulah kata akal celik kita, lebih baik beristighfar...Perkahwinan bukan untuk seronok-seronok, tetapi untuk beribadat kepadaNya. Adapun, sunnah Nabi itu adalah ibadat seperti yang telah diriwayatkan:
"Ada empat perkara yang menjadi sunnah para rasul iaitu malu, berwangi-wangian, bersugi, dan berkahwin." [Riwayat Tirmizi]
Gambaran perkahwinan yang kita bayangkan tadi bukanlah hanya akan dikecapi kita berdua dengan suami. Perlu diingat, yang ketiga, yang keempat dan seterusnya bakal hadir - cahaya mata. Apa kita mampu bayangkan keindahan mula-mula itu berkekalan bila yang ketiga dan yang keempat itu menyusul? Ingat...perkahwinan bukan melibatkan suami - isteri sahaja, tapi seluruh keluarga kedua-dua belah pihak. Fikir-fikirkanlah dan fahamilah lelaki....
Sungguh!
Perkahwinan memerlukan belanja yang sewajarnya mengikut kesesuaian dan persetujuan pihak lelaki dan wanita. Ha, di sinilah bermulanya detik getir dalam hidup lelaki. Mula memikirkan kata-kata orang, menerima tekanan psikologi, diasak dan diejek kerana kelemahan yang ada. "Kau nak bagi anak orang makan apa? Pasir?", "Janganlah kahwin dulu, kang naya bini kau". Para wanita sekalian, lelaki bujang bekerjaya selalunya ada apa dengan mereka? Kereta, motor, bukan? Ada juga yang tak ada kemudahan itu semua, pergi-balik kerja naik kemudahan awam. Jimat. Kereta dan motor perlu diservis dan boleh dikatakan seminggu, 2 kali isi tangki. Itupun kadang-kadang, tinggal RM 200-300 saja dalam tangan, nak dikirim pada keluarga di kampung, nak berkira-kira untuk belanja sendiri, sewa rumah, simpan di bank. Perkahwinan ibarat berlipat kali ganda duit yang perlu digunakan. Manakan tidak, hantaran, mahar, kad undangan perkahwinan, tempahan baju pengantin, persiapan pelamin dan majlis, tempahan makanan, bayaran sewa dewan, segala-galanya. Belum masuk lagi kereta atau motor persendirian. Lelaki kebiasaannya akan merasa ego tercabar memikirkan kekurangan yang ada. Bekerja kuat. Dapat gaji tiap-tiap bulan, simpan. Kadang-kadang sampai ikat perut tak makan. Berbelanja sekadarnya. ((Pengalaman sahabat yang bernama Mohd. Azizan A. Bakar yang mana berat badannya susut banyak kerana bekerja keras kumpul duit untuk tunaikan janji menikah isterinya - walaupun bukanlah kerana didesak berkahwin. Alhamdulillah, selamat diijab kabul 13 Mac 2011 lalu di Kedah)).
Mahar, iaitu harta atau manfaat yang mempunyai nilai harta yang diwajibkan oleh syarak ke atas lelaki memberi kepada wanita sebagai haknya disebabkan sesuatu perkahwinan yang sah (Mohd Saleh, 2009) seperti firman Allah dalam Surah An-Nisa': 4:
"Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan maskahwinnya sebagai satu pemberian..."
Boleh juga rujuk Surah an-Nisa': 24. Mahar adalah wajib. Namun, jenis dan kuantiti mahar bebas ditentukan oleh lelaki kerana ianya berbentuk pemberian ikhlas kepada wanita yang dinikahinya. Setelah berkahwin, wajib pula memberi nafkah kepada isteri. Kalau seseorang itu terlalu istimewa pada kita, tambahan sudi menjadi teman kita sehidup semati, adakah teddy bear saja memadai? Adakah teddy bear itu bermanfaat untuknya pada keesokan harinya? Apa faedahnya tatap dan peluk teddy bear itu setiap hari? Mampu buat kita lebih ingat Tuhan kah? Nak didik anak-anak dengan teddy bear kah? Bolehkah dibuat tukar ganti dengan wang untuk membeli keperluan lain? Fikir-fikirkanlah dan fahamilah lelaki....
Sungguh!
Perkahwinan itu diGALAKKAN dalam Islam. Kerana salah satu tujuannya, menghindari zina. Jadi, perkahwinan ini wajib lah? Ramai yang salah sangka. Mungkin disebabkan 'wajib' inilah yang membuatkan ramai wanita berasa kesal kerana tak menggunakan masa yang ada masa di kampus dulu untuk mencari teman lelaki. Mungkin sebab 'wajib' ini jugalah yang membuatkan para wanita berlumba-lumba mengira usia dan waktu sesuai untuk berkahwin. Sebab 'wajib' jugalah, ada di kalangan wanita mengenepikan pandangan keluarga yang merasakan cara pemikiran orang tua mereka kolot. "Zaman dah lainlah. Sekarang ni, masih belajar ke, masih muda ke, terpulanglah kat diri sendiri nak kahwin. Yang kahwinnya, aku, bukan mak bapak aku". Boleh jadi ini bisik hati kecil wanita.
Harus diingatkan, perkahwinan ini ada hukum-hukumnya. Bila satu-satu perkahwinan itu menjadi wajib, harus, sunat, makruh, dan haram. Bila pula keadaan perkahwinan itu dikatakan afdhal berkahwin dan bila pula tak afdhal berkahwin. Tentang hukum-hukum ini, ada baiknya kita baca sendiri, menambah pengetahuan sendiri. Sebagai cadangan, carilah buku berkaitan perkahwinan khususnya dan baca dengan teliti.
Kalau ada lelaki yang berdalih, alasannya mudah. Belum bersedia. Kerana apa? Barangkali mereka tahu bahawa perkahwinan hanyalah digalakkan, bukan wajib. Bagi yang betul-betul beriman, ianya satu galakan untuk merebut dan meraih redhaNya. Belum bersedia sekarang, ya! Tapi akan dilaksanakan satu saat nanti, dengan izin Allah.
Sungguh!
Perkahwinan memerlukan tanggungjawab dan pengorbanan kedua-dua lelaki dan perempuan (suami-isteri). Jika tadi, baru membayangkan keindahan perkahwinan. Kemudian, susah payah mencari dan mengumpul wang untuk perbelanjaan perkahwinan. Kemudian, nafkah pula. Bagi duit saja cukupkah untuk menjamin kebahagiaan suami-isteri? Fitrah manusia, cuba nyatakan siapa yang tak mahukan kasih sayang dan perhatian dari pasangan? Jika berdua, mungkin boleh membahagikan waktu melayan kerja dan si dia. Tapi, bila dah bertambah ahli keluarga, pembahagian kasih sayang dan perhatian menjadi sesuatu yang rumit. Tak hairanlah kalau suami mahupun isteri mencari orang lain untuk bersuka-ria. Mana perginya kemanisan berkongsi masalah dan cerita? Mana perginya bahu untuk mengadu? Mana perginya kesepakatan? Mana perginya anak-anak, makan minum, pakai, pendidikan semuanya? Mana perginya hobi memasak, mana perginya hobi bersiar-siar bersama keluarga? Sudahnya...bibik kan ada...Hm, fikir-fikirkanlah....
Sedarkah kita, wanita, kita terlalu sibuk menghitung hari memasuki hari bahagia, memakai gaun indah bak bidadari, disaksikan ribuan tetamu melihat diri kita sebagai permaisuri hari, bangga dipinang seorang lelaki sebagai suri, ingin merasai apa yang orang-orang sebelum kita rasai, iaitu sebuah nikmat perkahwinan. Tapi, sedarkah kita, di sebalik semua itu, lelaki lebih banyak memendam rasa dan seribu rahsia tentang kesukaran mencari rezeki, menanggung beban dan tekanan emosi, tapi digagahi juga. Mereka tak pernah rasa lega walaupun ikatan sudah diumumkan sah, malah makin bertambah kuat bekerja. Kerana setiap satu hari ibarat satu saat pada mereka. Menyediakan bekalan wang, pakaian, makan minum menjadi keutamaan - nafkah zahir. Setiap kelahiran zuriat, mungkin menjadi berita gembira buat kita (wanita) dan mereka (lelaki), tetapi kegembiraan mereka lebih bersifat sementara. Kerana bakal melalui ujian yang lebih berat dalam bekerja bersungguh-sungguh demi mencari rezeki. Kalau dulu, mulut hanya satu yang perlu disuap tapi kini, ada dua, mungkin esok tiga, empat...
Sungguh!
Perkahwinan itu akan menjadi mudah kalau sekiranya kedua-dua pihak lelaki dan perempuan benar-benar bersedia menghadapinya dengan ikhlas kerana Allah. Bersedia di sini bermaksud kukuh dari segi kewangan, faham tanggungjawab suami-isteri, dan menerima perkahwinan sebagai ibadat mencari redha Allah. Kerana hakikatnya sebuah perkahwinan itu, kita dikurniakan seorang sahabat yang setia, jujur, ikhlas menemani saat senang dan susah, bersama-sama memimpin satu sama lain agar selalu mengingatiNya, bersama-sama sahut cabaran menjaga amanah pemberian Tuhan, mendidik generasi keturunan Nabi supaya menjadi khalifah yang benar-benar memahami 'dunia' Islam. Keturunan inilah yang akan meneruskan usaha memimpin generasi yang seterusnya. Baik didikan yang diberikan, maka baiklah agama dan akhlaknya, dan begitulah sebaliknya.
Kalau benar seorang lelaki itu bersedia bernikah dengan kita, tak terasakah satu penghormatan telah diberikan? Setelah dia melalui berbagai-bagai kesusahan dan kepayahan demi untuk memiliki kita? Bukan saja untuk memiliki, bahkan untuk menjaga sampai akhir hayat. Setelah kita tahu semua kesusahan yang terpaksa mereka lalui, masihkah kita ingin duduk goyang kaki menunggu mereka beri wang belanja, masihkah kita ingin merungut dengan hadiah yang tak seberapa di hari jadi, masihkah kita ingin mengira kekurangan dalam rumah (perabot etc.), masihkah kita ingin marah setiap kali mereka pulang kerja lewat sedikit dari waktu biasa, masihkah kita ingin ragu-ragu dengan kesetiaan yang diberikan, masihkah kita ingin bermasam muka, masihkah....ah, banyak...Persoalannya, masihkah kita rasa kurang?
Janganlah jadi seperti seorang kenalan (rakan kepada sahabat saya) yang memutuskan pertunangannya dan berkahwin dengan seorang lelaki yang baru dikenali sebulan. Akibatnya, hidup terumbang-ambing kerana ketidakmatangan diri dalam menimbangkan satu keputusan. Yang dia mahu, hanya berkahwin. Apapun, dia patut bersyukur kerana sekurang-kurangnya, suaminya tidak menceraikannya. Walaupun suaminya itu bengis pada matanya, dia harus sedar, itulah lelaki pilihannya. Mudah-mudahan Allah beri kelembutan dalam hati suaminya, ameen...
Jadi, fahamilah mereka iaitu lelaki...Hati banyak diusik rasa was-was syaitan yang sentiasa mahukan hidup manusia porak peranda. Maka dengan itu, perbanyakkanlah doa moga Allah sentiasa lindungi mereka dan permudahkan urusan mereka.
Jadilah seperti seorang kakak (kenalan kepada sahabat saya) yang menanti jodohnya dengan sabar walaupun dilukai sebanyak tiga kali sebelum lelaki tersebut meminangnya. Keyakinan yang ada dalam hati membuatkan dia tabah dan redha menerima lelaki itu seadanya.
Bersabarlah dalam menanti jodoh. Bersabarlah 'menuju' perkahwinan. Isilah waktu yang ada dengan ilmu berkaitan perkahwinan secukupnya, fahamilah isi tanggungjawab kita. Dengan itu, sabar telah terdidik tanpa kita sedar. Bawalah diri ke arah yang baik, jangan beri satu ruang pun syaitan bisikkan rasa kecewa, putus asa, dan yang bukan-bukan, pokoknya perlu banyak berdoa. InsyaAllah, Allah permudahkan satu masa nanti. Layak tak layak, itu urusan Allah yang tentukan mana yang terbaik untuk kita.
Sabarlah untuk sekejap waktu...
-allahualam-
No comments:
Post a Comment