Sunday, May 8, 2011

Kerana sayang, tak cium bau syurga..~ (2)

....Bismillahirrahmanirrahim

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
[At-Taubah: 14]

"Say: If it be that your fathers, your sons, your brothers, your mates, or your kindred; the wealth that ye have gained; the commerce in which ye fear a decline; or the dwellings in which ye delight― are dearer to you than Allah or His Messenger or the striving in His cause; then wait until Allah brings about His decision: and Allah guides not the rebellious."

"Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu takut kerugiannya serta tempat kediaman yang kamu sukai (semuanya itu) lebih kamu cintai daripada Allah dan rasulNya dan berjuang di jalan Allah, maka tunggulah olehmu sehingga Allah mendatangkan perintahNya (seksaanNya). Dan Allah tidak menunjukkan kaum yang fasiq itu."

Ini sambungan dari post lepas yang mana kisah pertama telah dikongsikan berkaitan seorang anak lelaki yang hampir 'derhaka' kepada ibunya sendiri dek sayang dan meletakkan seluruh kepercayaan (menurut) kepada teman wanita. Kali ini, berdasarkan ayat yang telah dituliskan di atas, mungkin ramai yang dapat mengagak tentang apakah yang cuba diterangkan oleh At-Taubah: 14 ni. Hurm, begini.....mencintai atau mendahulukan semuanya lebih dari Allah sendiri / mengetepikan Allah s.w.t. Inilah yang dikatakan dayus...

*******
 Kisah 2
Pagi-pagi lagi, Azri dah keluar dari rumah, meminta diri secepat yang mungkin tapi masih dalam keadaan serba tenang. Tangan ibu ayah disalam. Lalu, dipanggilnya kakak dan adiknya yang sejak dari semalam dah diatur perjanjian untuk menemaninya bertemu kekasih hati yang sedang menunggu di kampus. Hari itu bukanlah bertujuan untuk memperkenalkan kekasih hati pada kakak dan adiknya, untuk apa, satu famili sudah pun mengetahui akan hal itu. Hari itu hari untuk membantu kekasihnya berkemas dan mengangkat barang-barang berkenaan kerana kekasihnya akan berangkat pergi ke Kelantan, praktikal selama beberapa bulan. Tak dapat dibayangkan bagaimana rasanya berjauhan dengan kekasih hati. Risau. Sedih. Kemungkinan rindu juga.Susah berjauhan, pada fikiran Azri. Apa lagi, kekasihnya itu sering menjadi perhatian orang ke mana pun dia pergi, pasti ada yang berkenan. Mana tak bingung.

Selesai berkemas, Azri sempat meluangkan masa bersembang dengan kekasihnya sedang kakak dan adiknya bersembang dengan mak serta kakak kepada kekasihnya itu. Sempat juga terlihat si gadis menepuk belakang dan lengan Azri dengan mesra sambil bergurau. Entah apa yang lucu sangat sampai bertepuk-tepuk badan begitu. Azri tak membalas, membiarkan saja diperlakukan begitu. Tapi, ada sepasang mata yang sakit melihat kelakuan sebegitu, hati mendidih panas, tapi dibiarkan. Beberapa buah bas tiba. Sampai masa untuk bertolak ke Kelantan.

Alahai....sayu sungguh suasana perpisahan yang sementara hari itu. Sedar-sedar, kekasih Azri menangis. Sayu untuk meninggalkan dan berjauhan dengan keluarga dan Azri barangkali. Lalu, disalamnya tangan Azri, cium tangannya di hadapan semua; maknya, kakaknya, kakak Azri dan adik Azri. Sedih benar. Azri hanya berani menepuk lengan kekasihnya yang agak berisi, bertindak memujuk "Dahlah, tak ada apa pun, praktikal elok-elok". Sekali lagi, sepasang mata yang memerhati dari tadi terasa sakit sungguh, hati dah membara pun.

Sepanjang perjalanan balik, hati si pemerhati berbungkam. Malamnya, selesai saja Azri makan malam, semua orang sudah naik tidur, kakaknya datang mendekatkan diri, duduk betul-betul di hadapan Azri. "Boleh aku tanya sesuatu?". Azri seperti dapat mengagak apa soalan kakaknya, hanya mengangguk. "Boleh jelaskan apa makna semua tadi tu? Dari awal sampai habis,". Azri faham.

"Bukan apa, wak. Aku faham kau tak suka apa yang terjadi tadi. Tapi kan, wak, aku buat macam tu sebab aku tahu apa rasanya bila seseorang tu hilang ayah sejak kecil. Tak berkesempatan dah nak bersalam dan cium tangan ayah. Dia pernah kata kalau cium tangan aku tu buat dia teringat ayah dia. Sampaikan dia terasa tangan aku ni macam tangan ayah dia. Aku...".

"Cukup!", pintas kakak Azri. "Wak, walau apa sekalipun alasan kau, semuanya SALAH! Nak aku bagitahu apa salahnya? Pertama, kau dengan dia bukan muhrim. Kedua, kau dengan dia belum berkahwin, bahkan belum bertunang, hanya pacaran. Ketiga, kau lupa hukum Allah? Keempat, kau jauh lebih baik memahami erti butir-butir perkataan dalam Al-Qur'an sebab kau belajar Bahasa Arab tinggi, dan pada masa yang sama, menghafaz supaya tak lupa semua tu. Cuba kalau aku minta kau keluarkan dalil-dalil berkenaan yang mengatakan perbuatan-perbuatan kau tadi salah, mudah sangat bagi kau kan?". Kakak Azri bersuara tegas tapi jauh dalam lubuk hati berasa kasihan kerana adiknya tak mampu menepis ujian sebegitu.

Terus-terusan kakak Azri timbulkan persoalan dengan harapan Azri berfikir lebih jauh sedikit. "Apa hukumnya bersentuhan dengan perempuan bukan muhrim? Terang-terang haram kan. Kalau tak sengaja, boleh dimaafkan lagi. Apa hukumnya bersentuhan dengan perempuan bukan muhrim tambah lagi dengan sengaja? Berdosa kan. Wak, aku tak banyak ilmu macam apa yang kau dah belajar. Kau ambil bidang Qur'an dan Sunnah, pada hemat aku, kau tahu banyak dari aku. Cuba kau kata aku salah dalam hal ni. Kata lah aku salah,". Azri hanya menggelengkan kepala, "Kau betul, wak...".

"Wak, aku memang marah bila tengok kau buat macam tu. Tapi aku sayang kau, kau adik aku. Pada aku, kau ada ilmu tentang hal-hal macam tu. Setakat hukum, haram halal, dosa pahala, hadis-hadis, ayat-ayat Qur'an, kau selalu jadi rujukan dalam keluarga kita. Tapi bila kau buat macam tu, kau tak terasa ke kau dah mempermainkan hukum Allah..? Allah dah kata haram, kau buat. Tak ke namanya melawan atau ingkar tu? Tambahan, kau tak terasa hina ke bilamana kau ada ilmu yang tinggi, tahu bahawa satu-satu perkara tu dilarang, tapi kau buat juga, bukan ke tarafnya lebih teruk dan lebih hina dari orang yang jahil? Aku tak ingat hadis tu, tapi aku tahu hadis tu pernah sebut macam tu....". Azri mengangguk sambil mengiyakan bahawa hadis itu ada menyebut tentang hal itu.

"Aku tak tahu sama ada kau boleh terima nasihat aku atau pun tak. Terpulang....Cumanya aku harap kau lepas ni boleh berfikir. Sekurang-kurangnya aku dah menegur. Aku tak nak esok-esok aku kena tanya sebab apa tak tegur kau sedangkan aku nampak perbuatan tu. Aku tak nak bersubahat dengan kau dengan mendiamkan hal ni. Kau pilihlah antara dua, kemuliaan pandangan dariNya  dengan ilmu yang kau ada atau nak menjaga hati buah hati kau...terpulang...".

*******

Kenapa kita selalu nak menjaga hati manusia lainnya dan mengabaikan laranganNya?? Allah sayang kita, kenapa Dia dibalas begini?? Sungguh tak patut....

Kisah Azri tadi, alhamdulillah...dia dah dapat atasi masalah tersebut. Menurutnya, pada mulanya kekasihnya mahu bersalam lagi, tapi Azri hanya buat-buat tak nampak huluran tangan kekasihnya, kononnya dia sedang asyik memandang sekeliling. Sekali lagi dihulur, Azri hanya mematahkan "Eh, tak perlulah...". Walaupun kelihatan masih menjaga hati kekasihnya, mungkin itu lebih baik, tak bersentuhan.

p/s: Pesanan buat diri sendiri juga...a'uzubillah....

Bukan berniat membuka aib orang dan mendedahkan kehebatan diri, tetapi sekadar berkongsi perkara yang pernah berlaku dalam hidup. Bukankah tanggungjawab kita membetulkan keadaan yang menyimpang dari ajaran agama kita? Bukan berfikiran ekstrem tetapi merasakan niat menjaga kesucian ajaran Islam yang menjadikan perbuatan dan teguran menjadi tegas. Setiap manusia punya jiwa pendakwah bagi yang benar-benar mahu perjuangkan dakwah. Tapi diri selalu ingat bahawa tak semua orang boleh dididik dan ditegur dengan cara tegas, bermakna secara lembut juga amat digalakkan cuma biar lidah lembut tapi nada tegas. Setiap orang mengetahui cara berurusan dengan orang lain di sekelilingnya. Hati diletakkan hanya untukNya. Moga Allah ampunkan dosa-dosa........

No comments:

Post a Comment