Monday, August 8, 2011

Doa dalam Ramadhan...~


"Ya Allah, tunjukkanlah kepadaku pasangan/ lelaki soleh, yang menyayangiku, dan hubungkanlah/ pasangkanlah/ kahwinkanlah aku dengannya, dan jadikanlah kebaikan bagiku di dunia juga di akhirat/ syurga."

*******
Ada doa yang berbunyi..

"Allahumma sakhkhirli zaujan solehan,
Muttaqan haliman a'liman zaujan solehan,
Wa yuhibbuni hubban jadidan wa uhibbuhu hubban jadidan a'miqan fillah,
Wa yakunu sahuban fiddun-ya wa fil jannah,
Allahumma la tazarni fardhan wa anta khairul waritsin"

Ya Allah, tunjukkanlah kepadaku pasangan/ lelaki soleh,
Seorang yang bertaqwa, lembut, berilmu, soleh,
Dan kasihlah kepadaku dengan kasih sayang yang sebenar-benarnya, dan kasihkanlah juga kepada dia kasih sayang yang sebenar-benarnya, semulia-mulia bagi Allah,
dan jadikanlah kebaikan bagiku di dunia juga di akhirat/ syurga,
Ya Allah, Janganlah Engkau timpakan ke atasku ((...)),
Dan sesungguhnya Engkau sebaik-baik Pewaris..
@
"Ya Allah, Ya Tuhanku, utuslah seorang suami yang soleh untuk melamarku, condongkanlah hatinya kepadaku berkat kebenaran Kalam-Mu yang qadim dan berkat utusanMu yang mulia dengan keberkahan sejuta ucapan LAA HAWLA WALAA QUWWATA ILLAA BILLAAHIL 'ALIYYIL 'ADZIM. Dan semoga Allah melimpahkan Rahmat dan Salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w, dan kepada seluruh keluarga serta sahabat baginda. Dan segala puji bagi Allah Tuhan sekalian Alam."
- Ameen Ya Rabbal 'Alamin -

*******
Bertatih mengenal ciri-ciri lelaki soleh..
((copy from http://soleh.net/2008/03/19/10-sifat-calon-suami-yang-baik/))

Mempunyai jodoh dengan seorang lelaki yang baik adalah idaman setiap wanita. Manakala menjadi lelaki yang mempunyai sifat-sifat yang didambakan oleh wanita adalah idaman setiap lelaki. Jadi, apa yang aku tulis di bawah ini adalah sesuai untuk lelaki dan juga wanita.

Jika anda seorang wanita, carilah lelaki yang mempunyai sifat-sifat ini. Jika anda seorang lelaki, jadilah seorang lelaki yang mempunyai sifat-sifat ini.

10 sifat calon suami yang baik:
1.Kuat amalan agamanya. Menjaga solat fardhu, kerap berjemaah dan solat pada awal waktu. Auratnya juga sentiasa dipelihara dan memakai pakaian yang sopan. Sifat ini boleh dilihat terutama sewaktu bersukan.

2.Akhlaknya baik, iaitu seorang yang nampak tegas, tetapi sebenarnya seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Pertuturannya juga mesti sopan, melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia.

3.Tegas mempertahankan maruahnya. Tidak berkunjung ke tempat-tempat yang boleh menjatuhkan kredibilitinya.

4.Amanah, tidak mengabaikan tugas yang diberikan dan tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

5.Tidak boros, tetapi tidak kedekut. Tahu membelanjakan wang dengan bijaksana.

6.Menjaga mata dengan tidak melihat perempuan lain yang lalu lalang ketika sedang bercakap-cakap.

7.Pergaulan yang terbatas, tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun dia tahu dirinya mampu berbuat demikian.

8.Mempunyai rakan pergaulan yang baik. Rakan pergaulan seseorang itu biasanya sama.

9.Bertanggungjawab. Lihatlah dia dengan keluarga dan ibu bapanya.

10.Wajah yang tenang, tidak kira semasa bercakap atau membuat kerja atau masa kecemasan.

Wallahu a’lam.

*******
Aku Ingin Suami Soleh - http://wanitasihat.com/inginsuamisoleh/

Mungkin benar kata penulis blog di atas. Kalau sudah meminta yang soleh, perlu bersabar dengan segala kewajiban mereka, yang juga menuju soleh. Bermakna, bersedia dengan semua kemungkinan. Kalau ada yang kurang selesa di mata juga di hati, musyawarah itu harus barangkali. Supaya kesepakatan tercapai. Adil. Alangkah bijaksananya seorang lelaki itu bila mampu mengimbangi waktu bersama Allah dengan waktu bersama isteri....Pasti bahagia..Walau bagaimanapun, moga terciptanya diri sebagai wanita tak membebankan suami kelak, tetapi menyenangkan dan memudahkannya, mudah-mudahan, insyaAllah...Mahukan yang terbaik, kenalah mulakan dengan baiki diri ke arah yang baik dulu..-aha, nodding- :)

p/s: Satu masa nanti, pasti ketemu..Buat sementara waktu, biarkan dulu sepi..Pegang pada kata-kata "semoga apa yang perit pada hari ini, ada kemanisan di kemudian hari, insyaAllah".. :) -ameen-

Thursday, July 21, 2011

Mencari sakinah (ketenangan) sempurna..~

listening to D'Masiv - Jangan Menyerah...~


Merasa kurang?? Apa yang kurang tu?? :) "Saya tak cantik @ hensem, siapa yang nakkan saya ni", "Saya tak baik, mana nak sama dengan orang tu, baik, ustaz @ ustazah pula", mmmm....macam-macam.

Sahabat-sahabatku tersayang....

Pernah lihat otak manusia yang sebenar-benarnya? Otak itu kecil kan..? Tapi fungsi otak tu tak ada hadnya. :) Manakan tidak, cukup untuk semuanya, sebut saja; fikir, emosi @ perasaan, bahasa, tutur, perbuatan, kreativiti, imaginasi, ingat @ hafal, mmm....macam-macam....Tak sangka, kita punya otak yang TERBAIK kan? :)

Pernah dengar, kalau seseorang tu lumpuh, hilang ingatan, tak mampu bertutur dsb nya, mati begitu saja?? Tak boleh buat apa-apa dah?? Habis semua kegembiraan dia, keupayaan dia?? Pernah? Kalau begitu jadinya, memang padanlah ramai yang menyalahkan Tuhan tak adil. Harus diingat, Allah takkan tarik nikmat-nikmatNya dari kita tanpa sebab yang munasabah. Satu masa nanti, pasti akan digantikan dengan yang serupa dan yang lebih baik.

Berbalik soal otak, uniknya otak ciptaan Allah, kerana di dalamnya ada banyak bahagian-bahagian kecil yang berfungsi mengawal pertuturan kita, emosi kita, pemikiran kita, tindak-tanduk kita dsb nya. Neuroplasticity menerangkan salah satu fungsi neuron dalam otak ialah me"mimic" fungsi bahagian otak lainnya yang mengalami masalah. Kalau sebelum ini, seseorang itu mampu bertutur dengan sempurna, tetapi satu kemalangan telah menyebabkan bahagian otak yang mengawal pertuturannya rosak. Menakjubkan bila ada bahagian otak lain yang mampu menggantikan bahagian pertuturan itu walaupun tidak se'efektif' fungsi otak asal. Kesannya seseorang itu mampu berbicara tetapi mungkin tidak selancar dulu.

Sama juga dengan keistimewaan dan kekurangan diri kita. Pernah dengar orang kata, biasanya orang-orang tualah yang lebih kepada menjaga hati kita, muda-mudi dalam berbicara. Contohnya, "Tak semestinya orang cantik @ hensem akan tertarik dengan yang lawa, molek aje", "Tak semestinya yang nampak elok budi pekertinya itu, betul-betul baik, dan tak semestinya yang jahat itu, betul-betul jahat", "Yang berbeza itu lebih baik dari yang banyak persamaan"...mmm...macam-macam. Nasihat saya, ambil peringatan dari kata-kata mereka itu boleh. Tapi jangan sampai ikut betul-betul begitu begini, sekian, sekian, kata orang tua ni betul, kata orang tua ni salah, percaya itu ini.....hmm..Ok??

Dalam hidup, ada bermacam perkara di sekeliling kita yang boleh menggantikan sesuatu yang kita tak ada. Hikmah Allah ciptakan manusia itu tinggi, rendah, cantik, kurang cantik, pandai, kurang pandai, etc supaya kita bebas memilih mana yang kita suka dan selesa. Bukankah Dia Maha Adil..Cuba kalau semuanya sama, tentu bosan. Otak, kalau fungsinya terhad, tidaklah dalam Qur'an mengagungkan 'aql yang mana keupayaannya jauh mengatasi nafsu dan pancaindera. Samalah juga keadaan sekeliling, kalau semuanya sama, di mana coraknya dan warnanya hidup. Tentu tiada tawa, tiada nangis. -bersyukur-

Pasti semua orang ada prinsip masing-masing. Ikutlah rentak prinsip yang ada. Mana-mana yang kita suka dan senang. Yang memudahkan kita. Tapi mestilah berpandukan syariat. Maknanya, ikut perintah Allah dan tinggalkan larangan-laranganNya.

Izinkan saya berkongsi sedikit tentang pengisian yang saya dapat secara tak sengaja ketika di masjid Kolej Matrikulasi Gopeng, Perak ((tempat adik saya belajar))....

((Antara dengar dengan tidak, maafkan sekiranya ada tersalah...)) Dimulakan dengan contoh yang berkait rapat soal perkahwinan, mungkin lebih mudah difahami. Antara persoalan yang ditimbulkan, "Pasangan tu dah berkahwin lebih 20 tahun, tapi tak ada anak pun", "Ada orang kahwin, waah, hidup bahagia, harmoni, bersama anak-anak", "Ada orang kahwin, tapi rumahtangga tak bahagia, kemudian cerai. Kahwin lagi lepas tu, cerai jugak. Begitulah kahwin-cerai saja".

Ustaz yang memberi tazkirah pada Maghrib itu berkata semuanya berkaitan dengan salah satu sifat Allah iaitu ta'luk ((tak pasti ejaannya macam mana, tapi sebutnya begitulah..maaf ya..)). Ta'luk ini beerti 'sesuai' yang mana maksudnya secara teknikal beerti Allah menciptakan sesuatu itu sesuai dengan keadaan ciptaanNya. Ia berkait rapat dengan keizinan Allah tentang sesuatu yang bakal dilakukan oleh hamba-hambaNya.

Menjawab persoalan-persoalan di atas tadi, si ustaz mengupas satu-persatu. "Pasangan tu dah berkahwin lebih 20 tahun, tapi tak ada anak pun". Ta'luk Allah menetapkan pasangan ini untuk tidak ada anak kerana banyak kemungkinan. Mungkin apabila dikurniakan anak nanti, mereka tak mampu menjaganya dengan baik, selalu marahkan anak, merasa terbeban dsb nya. Mungkin keadaan kewangan tak mengizinkan. Mungkin juga ini ujian Allah. Jadi Allah lebih tahu apa yang 'sesuai' untuk hamba-hambaNya, apa yang 'terbaik' untuk mereka, yang 'terbaik' untuk kita juga.

Kedua, "Ada orang kahwin, waah, hidup bahagia, harmoni, bersama anak-anak". Ta'luk Allah mengizinkan hal itu berlaku kerana Allah tahu kemampuan hamba-hambaNya dalam mengendali segala urusan berkaitan rumahtangga dan bersedia hadapi ujian hidup yang lain. Ketiga, "Ada orang kahwin, tapi rumahtangga tak bahagia, kemudian cerai. Kahwin lagi lepas tu, cerai jugak. Begitulah kahwin-cerai saja". Ta'luk Allah menetapkan seseorang itu belum 'sesuai' untuk berkahwin kerana apa...Allah Lebih Tahu. Tetapi diizinkanNya perkahwinan itu terjadi kerana kita sedia maklum arah tujunya baik - menghalalkan hubungan suami isteri dan menghindarkan maksiat. Bila bercerai satu-satu pasangan itu, ianya bukan disebut sebagai 'ta'luk' lagi. Inilah yang dikatakan 'solehin qadim' - satu perkara yang tak diingini terjadi selepas satu perkara baik dikerjakan. Contoh, perkahwinan itu baik, tetapi bercerai pula.

Ustaz tersebut menyebut, semua ini berlaku ada hikmahnya. 2 hikmah utama; sabar dan redha. Ta'luk Allah yang berlaku pada permulaan perbuatan kita @ apa yang bakal kita lakukan, menuntut sabar dan redha. Kalau jodoh itu lambat, sabar....redha.....Kalau dah hampir nak kahwin, tiba-tiba tak jadi, sabar....redha....Kalau dah kahwin, tak ada anak lagi, sabar....redha....Kalau dah kahwin, tiba-tiba cerai, sabar....redha....Kerana dua cara ini saja dapat mendidik diri kita untuk selalu dekat dengan Dia. Itu ertinya kita hamba yang bersyukur dan selalu bersangka baik dengan ujian Dia.

"...tuntutlah rezeki dari sisi Allah dan sembahlah Dia serta berterima kasih kepadaNya..."
[Al-Ankabut: 17]



Berbalik soal kekurangan diri, masihkah kita rasa terkurang lagi?? :) Bayangkan fungsi bahagian otak tadi - boleh menggantikan yang asalnya walaupun tidak sesempurna mana. Lagi, setelah apa yang berlaku pada diri kita, saya pasti lebih banyak yang pahit sebenarnya dalam hidup kita, tapi dengan ta'luk Allah, bukankah sepatutnya kita rasa hidup kita lebih selamat?? Bak kata pepatah "Patah kan tumbuh, Hilang berganti". Kalau dah berlaku perkara yang kita tak ingini, masihkah kita mahu menyimpan dendam kesumat yang entah bila akan berakhir, masihkah mahu berada di takuk yang lama?

Soallah diri kita sebanyak mana pun, tanya sampai puas, kerana hakikatnya memang kita perlu berfikir sewaras-warasnya untuk dapat jawapan yang tegas dan buat satu-satu keputusan. Selebihnya mohon petunjuk dari Dia. Daripada kita bertanya "Apakah aku tak cukup baik untuk si polan, si itu, si ini?", ada baiknya kita bertanya "Apa aku dah buat dengan nikmat pemberian Tuhan ni? Sepatutnya dipelihara hati ini....((dan seterusnya))". ((contoh terdekat yang saya dapat fikir buat masa ini, huu~)) Renung-renungkan ayat ini dari Surah Al-Baqarah: 177.... :) -muhasabah- Moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sabar, insyaAllah.


Kekurangan itu masih ada nilai pada mata yang memandang. Di sebalik kekurangan itu, terselit bukan saja satu, bahkan seribu keistimewaan. Ada kekurangan yang dituntut untuk diperbaiki semuanya, ada yang perlu diperbaiki tetapi tak semuanya, ada yang tak perlu diperbaiki. Selidiklah semuanya... :) Be positive! -yup-

-periksa handphone-

Hmm...Dari dulu sampai sekarang, dalam banyak-banyak mesej berbentuk motivasi, kata-kata sahabat saya seorang ini penuh hikmah. Seorang yang berjaya, ya...sangat berjaya. Tak dinafikan orang sepertinya melalui perkara sama yang dilalui oleh orang lain, cuma yang berbeza, usaha dan keinginan @ impian. Dengan melihat kejayaan demi kejayaan yang diperolehinya, fahamlah saya betapa banyak pahit yang ditelan untuk sampai ke tahap sekarang. Cemburu?? Ya, sebab dia mampu jalani ujian-ujian hidup Allah beri padanya, sering tersenyum. Lali barangkali, itulah asam garam hidup. Secara tak langsung, hubungan dengan Ilahi menjadi bertambah dekat. Satu perkongsian dan pengajaran yang bermakna dari orang yang berpengalaman.

"Mlangkah itu mudah,nmun mcari arah itu yg tkadang payah..mcari jalan itu mudah,nmun mmahami destinasi itu yg susah..myusuri susur itu mudah,nmun mnuju noktah itu pasti mdatangkn lelah…dlm semua ini,mjaga istiqamah adlh susah,mnjg hti ckp payah & lelah,nmun DIA amat fhm bg hambaNYA,DIA tak minta manusia mjadi yg tbaik,hanya perlu utk mlakukn yg tbaik dlm mletakn sandarn & kyakinn pnuh kpdNYA..lantas DIA akan mguruskn yg slebihnya agar yg tbaik itu mjadi milik manusia..MOGA YG TERBAIK ITU MJADI MILIK KITA JUGA…sm0ga apa y perit pd hr nie..ada kmnsn dkmdian hr,insyaAllah :)"

- .... (15 July 2011/ 01:18)

Terima kasih...Takkan disia-siakan...InsyaAllah..Sama-sama doakan yang terbaik, mudah-mudahan..


*******
Kesimpulan:
1) Konsep 'Otak' - Hidup seperti puzzle. Kena cantumkan bahagian-bahagian kecil sehingga lengkap gambarannya. Betul cantumannya, cantiklah gambar itu. Salah cantumannya, cacatlah ia.

2) Ta'luk Allah - 'Sesuai' Allah bukanlah bermaksud kita hanya menunggu tanpa berbuat apa-apa. Contoh yang diberi di atas tadi berkisar perkahwinan. Tapi dalam konteks lain juga boleh diguna pakai. Contohnya, ada orang lemah dalam akademik, tapi dia mempunyai bakat dalam bidang penulisan, nyanyian, etc dan mampu berjaya seiring dengan orang lain.

p/s: Sila rujuk SOLUSI isu 33, "Jangan Jika Belum Waktunya" tulisan Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman. Banyak konteks yang dikupas secara ringkas yang berkaitan dengan 'sesuai' @ ta'luk Allah. :)


3) Benar kata sahabat, semoga yang perit sekarang ini akan disudahi dengan kemanisan di kemudian hari. -ameen- Hanya lakukan yang terbaik dan yakin dengan bantuan serta petunjukNya..-hayati lirik lagu D'Masiv - Jangan Meyerah-

Keseluruhannya, sabar.....Masih belum terlambat untuk belajar mengimbangi hidup.. :) Yang terbaik itu datangnya daripada Allah s.w.t....


~ allahualam ~

p/s: Selamat menyambut Ramadhan kareem dan Selamat Berpuasa... :)

Friday, June 24, 2011

Biasa saja..tapi...~

22 Jun 2011/ 10:40 - Klinik Ortopedik, HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan)

Hurm...Sementara menunggu ibu diperiksa dalam bilik rawatan, mata hanya tertumpu pada jam di tangan. Buku apa pun tak bawak, notis-notis di dinding berkaitan ortopedik, osteoporisis, osteoartritis, kes-kes berkenaan dah biasa ditatap, penat duduk di bangku memerhati orang lalu-lalang lagi-lagi doktor yang ke sana ke mari (pening juga dibuatnya - masuk bilik yang ini, keluar melalui bilik yang itu, pening, pening, pusing). Tunduk. Melihat jam. Bukan bertujuan mengira detik, tapi memerhati setiap detikan jarum.


Jarum di jam ada 3; yang paling panjang berfungsi sebagai penggerak dan penghitung detik saat, yang sedang-sedang bergerak tersangat perlahan, yang paling pendek bergerak lambat dari jarum yang paling panjang tetapi cepat dari jarum yang sedang-sedang saiznya. Apa yang penting, kedua-dua jarum tersebut mengikut saja arah detikan jarum yang paling panjang, jarum utama.

Jarum yang paling panjang bergerak laju. Ternampak bayang-bayangnya. Tak ketinggalan, tak juga terlambat, serentak pergerakannya. Walaupun banyak pusingan yang dibuat, tetap juga jarum panjang tak 'bertemu' bayang-bayangnya. Ia bergerak sendirian diikuti bayang-bayang yang tak dapat disentuhnya. Tapi sedar-sedar saja, jarum pendek dan jarum yang sedang-sedang saiznya bergerak perlahan, dekat dengan bayang-bayang mereka. Sedar-sedar saja sudah jam 12 tengahari tepat! Tetap juga jarum panjang bergerak mengelilingi nombor 1 - 12, masih mengejar bayang-bayangnya.

Kesimpulan:
Boleh dapat banyak pengajaran daripada pemerhatian tadi. Secara peribadinya, saya sedar beberapa perkara...

1 - Jarum panjang ibarat perbuatan yang kita kerjakan. Misalnya, menyiapkan satu-satu tugasan. Kita bertungkus-lumus manfaatkan segala ruang dan kesempatan yang ada (mengejar bayang-bayang). Tanpa kita sedari, hanya sebahagian kecil saja yang baru siap. Sepertinya, meletakkan usaha yang lebih untuk satu-satu perkara yang sia-sia walaupun tugasan yang ingin disiapkan itu penting. Macam mana boleh jadi macam tu??

Mungkin benar kata Hasan Al-Banna bilamana beliau pernah menyebut bahawa tugas-tugas da'ie itu jika ingin disenaraikan dalam kertas, nescaya tak cukup kertas yang ingin diguna pakai kerana tak terhitung banyaknya tugas-tugas sebagai da'ie. Kalau kita senaraikan 10 perkara kita ingin lakukan, mungkin mudah untuk dicoretkan di atas kertas, tapi tak mudah untuk melaksanakannya. Hasilnya, mungkin 1% saja yang mampu dilaksanakan walaupun setangkas mana kita bekerja.

2 - Bercakap tentang bayang-bayang, nyata yang dekat dengan bayang-bayanglah selalunya beroleh kejayaan. Dalam erti kata lain, seperti pepatah yang berbunyi 'berpijak di bumi yang nyata'.

Jarum panjang terlalu terkejar-kejar walhal ia tidak menerima sebarang saingan. Bayang-bayangnya juga jauh darinya. Berbeza dengan jarum pendek dan yang sedang-sedang saiznya, selalu dekat dengan bayang-bayang masing-masing.

Kita boleh simpulkan, dalam apa yang kita lakukan, setiap pikulan amanah itu haruslah sentiasa dekat dengan kita. Supaya tidak keciciran. Mana ada manusia yang sempurna, bahkan fitrah kita semua adalah pelupa. Bayang-bayang itu adalah sebagai peringatan agar kita tak terbabas dari landasan hidup kita.

3 - Laju atau lambat bukan penentu kejayaan. Sebaliknya fokus. Misalnya ada orang lambat belajar, ada orang cepat belajar. Kalau lambat belajar, kena fokus supaya cepat belajar. Kalau cepat belajar, kena fokus supaya mudah belajar.

Begitu juga keadaanya dengan jarum panjang tadi. Lajunya mengelilingi putaran beribu kali tapi detiknya untuk setiap jarum pendek berdetik hanya untuk 1 minit. Berbeza pula dengan 1 minit, sekurang-kurangnya ia berjaya menyudahkan 1 minit walaupun lambat.

4 - Bergantung kepada bidang pekerjaan - contohnya di hospital, doktor perlu titik beratkan masa kerana ia adalah penentu nyawa seseorang. Lain-lain, mungkin ada masa untuk berfikir.

5 - Tepat masanya! - Teringat tentang soal kematian yang mana takkan tercepat walau sesaat, takkan terlambat walau sesaat. Ini memang tak dapat disangkal lagi. Bila dah tertulis, ianya boleh jadi pada bila-bila masa, di mana saja, tanpa mengira usia.

Teringat tentang soal jodoh, seperti yang tertulis di Luh Mahfuz, bila tiba waktunya, maka akan datanglah ia tanpa dipinta. Sebab itu, kebanyakan orang bertemu jodoh mengakui bahawa mereka tak terfikir @ tak menyangka jodoh sampai awal dsb nya. Ada juga yang terkejut kerana hati yang tiba-tiba memberi jawapan "Ya". Seperti kematian, jodoh juga boleh 'singgah' pada bila-bila masa, di mana saja, tanpa mengira usia. 

Teringat tentang ganjaran/ balasan/ rezeki yang mana kita akan dapat selaras dengan apa yang diusahakan. Sebagai seorang muslim, kita percaya, sekiranya terlambat, mungkin kita sedang diuji, mungkin juga ada keburukan sekiranya satu-satu perkara itu didatangkan kepada kita pada waktu itu, dsb nya. Tapi, selalu teringat orang sebut-sebut "A successful person always come at the right time, the right situation/condition, and at the right place". Betul ke?

Teringat tentang hidayah, ada yang kata perlu dicari, ada yang kata ia datang sendiri. Walau bagaimanapun, tetap sama seperti hal mati dan jodoh tadi - hamba-hambaNya yang terpilih tanpa mengira usia, status, asal usul, boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana jua.

6 - Dari segi pemikiran - Apalah gunanya kalau pemikiran ke hadapan tetapi sikap masih ke belakang lagi? Bermakna, idea kita bagus, mungkin dapat membantu menyelesaikan banyak masalah orang lain juga, tetapi pelaksaannya tidak sebagus idea yang dilontarkan. Mungkin disebabkan oleh ketidakpakaran mengurus diri, masa, dan kerja. Bukan itu saja, sikap yang tidak matang seperti malas, acuh tak acuh, menampakkan lagi kelemahan diri.

7 - Dari segi ilmu - Apalah gunanya banyak membaca, tapi tak amalkan isinya? Membaca kerana sekadar hobi, mengisi masa lapang tapi kalau bahannya tidak mendatangkan faedah, samalah juga keadaanya seperti jarum pendek yang bergerak hanya 1 minit saja setelah jarum panjang mengelilingi angka 1 - 12 berkali-kali.

8 - Tentang hidup - Jam mungkin boleh beri satu analogi untuk "hidup perlu diteruskan". Ke depan bermakna majukan diri. Tiada istilah ke belakang. Kecuali kalau manusia itu sendiri yang putarkan jamnya ke belakang. Siapa yang tentukan semuanya?

Sebagai contoh, bila kisah silam berulang, kita ada dua pilihan, kembali atau melupakan. Sungguh, kembali itu adalah ke belakang dan melupakan itu adalah ke depan. Apa-apapun, hitunglah baik buruknya terlebih dahulu supaya mudahlah juga bagi kita untuk mengambil keputusan. Boleh jadi kembali itu adalah jalan kebahagiaan, boleh jadi melupakan itu juga jalan kebahagiaan.

9 - Dari segi kepimpinan - Jarum panjang bertindak sebagai pemangkin 'mengajak' jarum yang lain bergerak. Mungkin agak lambat, tetapi ia tetap ikut bergerak. Pemimpin mana yang tidak punya pengikut? Walau sesat macam mana pun seseorang pemimpin itu, pasti ada pengikut. Kalau tak, tiadalah label "pemimpin" itu pada dirinya.

Jarum panjang turut berfungsi seperti seorang pemimpin yang menjadi contoh terbaik buat anak-anak buahnya. Sekalipun dia tidak minta untuk dicontohi, pasti ada yang menjadikannya ikutan @ idola kerana mengaguminya. Jadi, perlahan-lahan orang ikut caranya, untuk kecapi kejayaan yang sama.

Tak hairanlah dunia hiburan ada artis-artis tertentu sebagai pemangkin buat peminat hiburan meminati bidang lakonan, nyanyian, tarian dsb nya. Tak hairanlah dunia politik ada imej-imej tertentu sebagai pemangkin buat pengikut parti. Tak hairanlah dunia bisnes ada wajah-wajah berpangkatkan Dato', Datuk, dengan kesenangan dan kemewahan sebagai pemangkin buat para usahawan muda. Banyak lagi....

10 - Tidak sia-sia - Bila hidup selalu berpandukan arah yang betul, terbabas macam mana pun, ianya masih mengikut arah yang betul. Kerana sebagai muslim, kita percaya, jatuh bangun dalam mencari redhaNya itu adalah satu perkara yang tak mungkin sia-sia. Pasti ada hikmah.

11 - Bila bateri jam mati/ terhenti - Maka tiadalah apa-apa. Terhentilah segala-galanya. Jarum yang utama tidak bergerak, maka jarum-jarum yang lain juga turut tidak bergerak. Barangkali dalamnya berlaku kerosakan yang bersifat kekal atau sementara.

Mungkin boleh juga dikaitkan dengan hati dan akhlak manusia. Sekiranya hati bersih, maka setiap perilaku terjaga. Setiap detik jam ibarat getar zikir yang terus-terusan dilantunkan tanpa henti. Pahala dikumpul sedikit demi sedikit. Sebaliknya, sekiranya hati kotor, maka setiap perilaku tak terpelihara. Setiap detik jam ibarat mengejar dunia dan nafsu yang terus-terusan minta dipenuhi. Dosa melekat sedikit demi sedikit.

Andai saja Allah mahu menguji hamba-hambaNya, diizinkan semua yang baik dan yang buruk itu mudah dilaksanakan. Kerana Dia Tuhan yang berhak menguji. Berhati-hatilah memilih jalan terangmu, atau jalan gelapmu.

~ allahualam ~

p/s: Biasa saja..tapi...punya hikmah...

Sunday, May 29, 2011

Ayuh kira-kira kos MATI..~

Seketika tengok-tengok gambar-gambar kenangan dulu. Zaman kanak-kanak, kawan-kawan, haiwan-haiwan peliharaan satu masa dulu; ayam (katik, serama, kampung, Israel - paling sayang Cicit), burung (bayan, merbuk, nuri), kucing (Zorro, Sayang, Oren, dan Comel - paling sayang Comel), ikan (puyu, ikan-ikan akuarium ((tak ingat nama)), flowerhorn - paling sayang flowerhorn), hamster (Yelli, Pinki, Comel, Dino, Boi, Boboi, Goldie, Dottie, Ciutie, Salju....((hampir 30 ekor semuanya)) - paling sayang Yelli dan Pinki), banyak kenangan...


Setiap yang hidup, pasti akan mati. RencanaNya penuh dengan hikmah. Teringat kata seorang sahabat "Semuanya dah tertulis di atas sana", bukan hanya tentang kematian, tetapi banyak perkara yang tak tercapai dek akal manusia. Umur 15 tahun, dua kehilangan bukanlah suatu benda yang mudah diterima - pemergian datuk dan sahabat (Syukriah). Dua-dua juga tiada kesempatan bertemu walaupun hanya mencium dahi untuk kali terakhir. Teringat saat ibu menangis di tepi highway kerana pada ketika itu, van rosak. Sesampai saja di Johor, hanya tanah yang masih merah yang sempat kami tatap. Syukriah, hanya sempat kami dengarkan announcement yang dibuat di sekolah. Pilu suasana. Patutlah Syukriah tak datang sekolah.

Haiwan peliharaan, kebanyakannya mati kerana bencana alam - bah di Kuantan satu masa dulu. Mati kerana sakit berjangkit, mati kerana sampai masanya. Sayang macam manapun, semuanya dah ditentukan Allah....Redha...

Tatap gambar, teringat seorang kenalan yang pernah bertegur sapa ketika berurusan untuk tujuan menjayakan program, kalau tak silap Bro. Ikhwan namanya. Setiap kali datang untuk hantar paperwork, bila Tuan Presiden kelab tiada, dia lah yang banyak membantu. Tak siapa tahu, itu kali terakhir bersemuka. Spontan juga, teringat arwah pernah singgah solat di masjid Kampung Baru. Dia berdiri di pintu pagar sisi sambil menghubungi orang melalui telefon bimbit. Di depan saya, satu papan notis. Ada panduan menutup aurat bagi wanita, sendiri periksa diri sendiri, pemakaian.....astaghfirullahal 'azim....

Mungkin pada ketika itu, masih mengambil ringan satu notis memandangkan umur masih muda. Tapi tak dinafikan notis itu memang betul-betul menarik perhatian. 'Kos Perbelanjaan Pengurusan Jenazah', saya hanya ingat RM 180....disertakan dengan detail ke mana perginya RM 180 itu - kapur barus, kapas, kain kafan, pewangi, etc. Terkejut. Terdetik dalam hati "Mati pun perlu belanja?".

Selama ni, hanya nampak apa yang kita nampak; jenazah disembahyangkan, diusung ke kubur, dibaca talkin dan Yaasin, tanam. Titik!

Tak tahu pula semuanya itu perlukan kos. Selama ni, sepanjang pemerhatian, RM 180 tu orang gunakan untuk beli pakaian mahal-mahal, handbag dan alatan mekap bila ada sale, belanja makan yang enak-enak, pergi bersuka ria, berbelanja sana sini, tapi tak pula mereka fikir tentang persediaan 'pakaian', 'alatan mekap', amalan yang akan diperuntukkan untuk kematian. Hm, tiba-tiba saja bunyi "Mahal lah...!".

Terbaca satu perkongsian di satu laman web...

"Salam, sekadar nak berkongsi dengan rakan2. Baru2 ini aku balik kampung menziarahi kakak aku meninggal. Aku sampai di kampung (Yan, Kedah) pada jam 2.30 pagi malam selasa lalu. Setelah sampai dan selesai membaca yasin, aku pun bersembanglah dengan ayah aku. Memang beliau dalam keadaan kesedihan. Maklumlah, anaknya yang pergi dulu mengadap Ilahi.

Sambil2 sembang2 bertanyakan perjalanan arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir, aku melihat ayah aku membuat catatan (quatation).

Korek liang lahat: RM 250.00
Upah Mandi :RM 50.00
Membaca talkin : RM 60.00
Van Jenazah : RM 20.00
Keranda/kebumi : RM 500.00
Sembahyang jenazah:RM 5.00 X 250 orang: RM 1250.00
Upah angkut orang sembahyang: RM 800.00

Jumlah keseluruhan: RM 2930.00

ITULAH PERBELANJAAN yang terpaksa dikeluarkan oleh ayah aku. Alhamdulillah, kami adik beradik menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban ayah.

Apa yang aku musykilkan ialah bila aku bertanya ayah aku, apa yang aku belajar semasa kursus pengurusan jenazah di surau aku dulu ialah,Apabila berlaku sebuah kematian maka adalah menjadi tanggungjawab (farhdu kifayah) kepada yang masih hidup untuk melaksanakan perkara2 berikut:

1. memandikan
2. mengkafankan
3. Menyembahyangkan
4. Mengkebumikan.

Ayah aku menjawab, memang dah macam ni nak buat macam mana...Masa arwah tokwan hang dulu tak macam ni..semua secara sukarela kecuali korek liang lahat, mandi mayat, papan keranda. Tak tau silap tang mana! Takpalah kita niat sedekah kat depa panggu arwah..

Aku pun diamlah, malas nak cakap2 lebih2 takut terguris hati ayah aku..

so....macam mana kat tempat korang? boleh share kat sini.... Bayangkan dalam satu bulan, berlaku dua kematian dalam sesuatu keluarga, bermakna RM 2930.00 X 2= RM 5860.00 yang harus dicari dalam masa singkat...."

Hurm...melihat pula satu laman web rasmi Masjid Putra Nilai di Negeri Sembilan tentang kos perbelanjaan untuk pengurusan kematian.

KOS PENGURUSAN JENAZAH
1) Kain kapan : RM 200.00
2) Tukang mandi : RM 100.00
3) Pembantu : RM 100.00
4) Talqin : RM 50.00
5) Masjid : RM 50.00

Total RM 500....

Mencari lagi info yang boleh dirujuk. Tapi, yang ini lain sikit. Ianya keratan akhbar yang mengetengahkan pengalaman seorang sukarelawan bernama Arbakyah, 55 tahun, yang bekerja menguruskan jenazah. Apapun, tajuknya yang menarik, iaitu "RM 730 kos urus mayat normal". Perhatian: 'mayat normal' yang dimaksudkan ialah mayat yang masih sempurna anggota tubuhnya ((mati dalam keadaan biasa - bukan kerana kecelakaan)) dan kos tersebut adalah peruntukan bagi mengurus mayat lelaki. Perempuan?? Sila baca http://smktdh1975.wordpress.com/badan-agama/kos-pengurusan-jenazah-20072008/

Berbalik pada luahan yang pertama tadi, mungkin betul bila beliau mengajak untuk berkongsi tentang bajet pengurusan kematian di tempat masing-masing. Sama macam kos perbelanjaan perkahwinan, tengok saja maskahwinnya, berbeza-beza mengikut negeri, perlu dilihat pada taraf juga; puteri raja, orang kenamaan etc. Begitu juga kos kematian, yang mana berbeza-beza mengikut tempat. Bukan negeri.

Pada pandangan saya, sepanjang pemerhatian saya tentang kos kematian ni, semuanya bergantung kepada kesudian pihak masjid yang bertoleransi menetapkan kadar perbelanjaan. Sepanjang google, tak ada pula saya terbaca tentang kos kematian yang perlu mengikut kadar tertentu seperti naik turunnya harga petrol dan gula, tak ada pula sebarang akta atau hukuman sekiranya kos yang ditentukan terlalu tinggi belanjanya, tiada tindakan undang-undang akan diambil sekiranya ada aduan tentang bajet kematian yang melampau perbelanjaannya. Rasanya belum ada apa-apa berkaitan aduan yang melibatkan bajet kematian.

Kenapa pihak masjid Kampung Baru meletakkan RM 180? Kenapa di Yan, Kedah, sampai mencecah RM 2 K? Kenapa di Kuala Lumpur RM 730/ RM 780? Hanya pihak-pihak tertentu saja yang tahu.

Hukum melaksanakan tugas mengurus jenazah adalah fardhu kifayah, WAJIB...http://www.scribd.com/doc/24678683/Tuntutan-Fardhu-Ain-Dan-Fardhu-Kifayah Mungkin ada yang lakukan semuanya kerana Allah. Mungkin ada yang lakukan kerana wang. Mungkin ada yang lakukan kerana terpaksa sehingga meminta wang sekiranya mahu kerja diuruskan. Macam-macam...Allah saja yang Tahu apa yang tersembunyi dalam hati kita dan hati mereka. Jika fardhu 'ain adalah amanah yang ditetapkan untuk setiap individu ke atas dirinya sendiri - wajib, maka fardhu kifayah boleh dikatakan amanah sekumpulan ramai orang ke atas orang lain dalam kelompoknya (bergantung kepada kepakaran dan pengalaman/ ilmu yang ada) - wajib. Seeloknya, segala berkaitan bantuan, biarlah ikhlas dan keranaNya...


Bila tarikh kita lahir? Semua orang tahu walaupun baru dijangka-jangka. Bila tarikh kita mati? Semua orang tak tahu. Saya pun tak tahu bila saya akan mati. Tak ada tanda-tanda saya sakit, umur masih muda, banyak terleka, lalai dan sebagainya. Alangkah ruginya saya kalau saya tak manfaatkan kematian datuk saya, sahabat saya, haiwan peliharaan saya kesemuanya untuk tujuan beringat-ingat...Alangkah ruginya saya kalau saya tak manfaatkan waktu yang ada untuk bekerja keranaNya..Alangkah ruginya saya kalau saya meremehkan soal-soal wajib seperti solat, puasa, zakat, dan haji, berbuat baik pada ibu bapa, rakan-rakan dan saudara Muslim yang lainnya, menjaga diri dan pancaindera.....rugi...rugi....

Pada pandangan manusia biasa, mati itu percuma saja. Tapi pada pandangan manusia yang berfikir dan punya keteguhan iman serta keyakinan jitu, kematian adalah satu permulaan untuk kehidupan yang sebenar-benarnya. Mahar yang perlu dibayar untuk meraih rahmatNya dan syurgaNya adalah amalan kita di dunia.


Satu kata-kata yang pasti daripada Nabi s.a.w bilamana baginda bersabda:

"Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, Sekiranya singgahan itu terselamat, Maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas itu adalah lebih sukar lagi" [Riwayat At-Tarmizi]

http://www.scribd.com/doc/21881569/TINTA-JUMAAT-ISU-11-30-OKTOBER-2009

-allahualam-

p/s: Kalau boleh, biarlah jadi seorang yang mampu bayar kos mati di dunia dan juga di akhirat nanti...Moga dipermudahkan..-ameen-

Saturday, May 21, 2011

Bersabar 'menuju' perkahwinan..~

"Macam mana ni? Saya masih belum ada calon."

"Tak boleh macam ni. Kena cepat-cepat cari seorang ni! Dah dapat, tak nak tangguh-tangguh dah, nak ajak kahwin."

"Dia terlalu baik, saya jahat, saya tak layak untuk dia. Lagipun, ramai kawan-kawan dia yang lebih sesuai untuk dia. Siapalah saya ni..."

"Saya suka dia, dia pun pernah akui dia suka saya. Tapi, saya sedikit terkilan bila dia asyik minta tempoh untuk masuk meminang. Alah, masuk jelah meminang dulu. Sekurang-kurangnya saya tahulah, saya ni confirm akan kahwin dengan dia nanti."

"Entahlah....saya tak tahulah kenapa sikap dia macam tu bila setiap kali saya sebut pasal kahwin. Hm, saya takut saya dipermainkan, dia tu ramai peminat. Entah-entah dia layan semua, katakan cinta, sayang pada mereka macam dia kata pada saya."

"Bila cakap pasal kahwin je, dia terus diamkan diri, ubah topiklah, itulah, inilah. Adaaa je alasan dia."

"Kalau awak tak lamar saya akhir tahun ni jugak, kita putus! Saya cari yang lain!"


Hm, banyak sungguh luahan keluh kesah yang boleh juga dikatakan berbunyi putus asa, mengancam, keliru, berburuk sangka, terlalu kelam kabut, tak yakin (ragu-ragu), dan sebagainya. Minta maaf kalau saya katakan luahan-luahan di atas ini banyak datangnya dari perempuan atau wanita. Saya perempuan, saya juga tak terlepas dari melalui dan memikirkan benda yang sama.

Tetapi, perlu diingat, bukanlah bermaksud seorang lelaki itu berdalih kerana dia tak sukakan kita, ada teman yang lain, ataupun bermaksud memainkan perasaan kita. Barangkali, mereka (lelaki) berdalih kerana merasakan belum masanya untuk berbincang soal nikah yang dianggap serius. Dan barangkali juga, bagi lelaki yang betul-betul beriman, mereka berdalih kerana merasakan itu adalah satu tanggungjawab yang memerlukan komitmen yang tinggi dalam berbagai aspek. Apatah lagi, ianya akan menjadi bekalan ibadat dan itu bakal disoal di akhirat nanti. Kerana seorang lelaki yang bergelar anak, suami, bapa, dan ketua, dialah pemimpin keluarganya (ibu bapa dan adik-beradik), keluarga sendiri (isteri dan anak-anak), ketua di tempat kerja (walaupun dasarnya dia orang bawahan). Paling penting, pemimpin dalam institusi keluarganya (juga keluarga kedua-dua pihak selepas berkahwin).

Macam nilah ya...Mungkin ada antara kita yang perempuan ni terlalu turutkan emosi. Tapi, tak apa, fitrah perempuan. Cumanya tak salah kan kalau kita ambil langkah yang positif dalam memahami golongan lelaki ni.


Sungguh!
Perkahwinan itu telah diistilahkan sebagai satu medium yang membolehkan pasangan suami isteri mengambil keseronokan di antara satu sama lain berdasarkan cara-cara yang dibenarkan syara' (Mohd Saleh, 2009). Bunyinya indah. Mungkin sebab tu, ramai perempuan beriya-iya nakkan saat bersama suami. Mana taknya, semuanya ditanggung halal; boleh berjumpa anytime, boleh berdating, boleh shopping, tengok wayang sama-sama. Siap pimpin tangan lagi. Peluk-peluk, cubit-cubit pun dah tak perlu nak segan-segan, pedulilah apa kata orang. Kan? Begitu kan? Hm, kalau begitulah kata akal celik kita, lebih baik beristighfar...Perkahwinan bukan untuk seronok-seronok, tetapi untuk beribadat kepadaNya. Adapun, sunnah Nabi itu adalah ibadat seperti yang telah diriwayatkan:

"Ada empat perkara yang menjadi sunnah para rasul iaitu malu, berwangi-wangian, bersugi, dan berkahwin." [Riwayat Tirmizi]

Gambaran perkahwinan yang kita bayangkan tadi bukanlah hanya akan dikecapi kita berdua dengan suami. Perlu diingat, yang ketiga, yang keempat dan seterusnya bakal hadir - cahaya mata. Apa kita mampu bayangkan keindahan mula-mula itu berkekalan bila yang ketiga dan yang keempat itu menyusul? Ingat...perkahwinan bukan melibatkan suami - isteri sahaja, tapi seluruh keluarga kedua-dua belah pihak. Fikir-fikirkanlah dan fahamilah lelaki....

Sungguh!
Perkahwinan memerlukan belanja yang sewajarnya mengikut kesesuaian dan persetujuan pihak lelaki dan wanita. Ha, di sinilah bermulanya detik getir dalam hidup lelaki. Mula memikirkan kata-kata orang, menerima tekanan psikologi, diasak dan diejek kerana kelemahan yang ada. "Kau nak bagi anak orang makan apa? Pasir?", "Janganlah kahwin dulu, kang naya bini kau". Para wanita sekalian, lelaki bujang bekerjaya selalunya ada apa dengan mereka? Kereta, motor, bukan? Ada juga yang tak ada kemudahan itu semua, pergi-balik kerja naik kemudahan awam. Jimat. Kereta dan motor perlu diservis dan boleh dikatakan seminggu, 2 kali isi tangki. Itupun kadang-kadang, tinggal RM 200-300 saja dalam tangan, nak dikirim pada keluarga di kampung, nak berkira-kira untuk belanja sendiri, sewa rumah, simpan di bank. Perkahwinan ibarat berlipat kali ganda duit yang perlu digunakan. Manakan tidak, hantaran, mahar, kad undangan perkahwinan, tempahan baju pengantin, persiapan pelamin dan majlis, tempahan makanan, bayaran sewa dewan, segala-galanya. Belum masuk lagi kereta atau motor persendirian. Lelaki kebiasaannya akan merasa ego tercabar memikirkan kekurangan yang ada. Bekerja kuat. Dapat gaji tiap-tiap bulan, simpan. Kadang-kadang sampai ikat perut tak makan. Berbelanja sekadarnya. ((Pengalaman sahabat yang bernama Mohd. Azizan A. Bakar yang mana berat badannya susut banyak kerana bekerja keras kumpul duit untuk tunaikan janji menikah isterinya - walaupun bukanlah kerana didesak berkahwin. Alhamdulillah, selamat diijab kabul 13 Mac 2011 lalu di Kedah)).


Mahar, iaitu harta atau manfaat yang mempunyai nilai harta yang diwajibkan oleh syarak ke atas lelaki memberi kepada wanita sebagai haknya disebabkan sesuatu perkahwinan yang sah (Mohd Saleh, 2009) seperti firman Allah dalam Surah An-Nisa': 4:

4:4

"Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan maskahwinnya sebagai satu pemberian..."

Boleh juga rujuk Surah an-Nisa': 24. Mahar adalah wajib. Namun, jenis dan kuantiti mahar bebas ditentukan oleh lelaki kerana ianya berbentuk pemberian ikhlas kepada wanita yang dinikahinya. Setelah berkahwin, wajib pula memberi nafkah kepada isteri. Kalau seseorang itu terlalu istimewa pada kita, tambahan sudi menjadi teman kita sehidup semati, adakah teddy bear saja memadai? Adakah teddy bear itu bermanfaat untuknya pada keesokan harinya? Apa faedahnya tatap dan peluk teddy bear itu setiap hari? Mampu buat kita lebih ingat Tuhan kah? Nak didik anak-anak dengan teddy bear kah? Bolehkah dibuat tukar ganti dengan wang untuk membeli keperluan lain? Fikir-fikirkanlah dan fahamilah lelaki....

Sungguh!
Perkahwinan itu diGALAKKAN dalam Islam. Kerana salah satu tujuannya, menghindari zina. Jadi, perkahwinan ini wajib lah? Ramai yang salah sangka. Mungkin disebabkan 'wajib' inilah yang membuatkan ramai wanita berasa kesal kerana tak menggunakan masa yang ada masa di kampus dulu untuk mencari teman lelaki. Mungkin sebab 'wajib' ini jugalah yang membuatkan para wanita berlumba-lumba mengira usia dan waktu sesuai untuk berkahwin. Sebab 'wajib' jugalah, ada di kalangan wanita mengenepikan pandangan keluarga yang merasakan cara pemikiran orang tua mereka kolot. "Zaman dah lainlah. Sekarang ni, masih belajar ke, masih muda ke, terpulanglah kat diri sendiri nak kahwin. Yang kahwinnya, aku, bukan mak bapak aku". Boleh jadi ini bisik hati kecil wanita.

Harus diingatkan, perkahwinan ini ada hukum-hukumnya. Bila satu-satu perkahwinan itu menjadi wajib, harus, sunat, makruh, dan haram. Bila pula keadaan perkahwinan itu dikatakan afdhal berkahwin dan bila pula tak afdhal berkahwin. Tentang hukum-hukum ini, ada baiknya kita baca sendiri, menambah pengetahuan sendiri. Sebagai cadangan, carilah buku berkaitan perkahwinan khususnya dan baca dengan teliti.

Kalau ada lelaki yang berdalih, alasannya mudah. Belum bersedia. Kerana apa? Barangkali mereka tahu bahawa perkahwinan hanyalah digalakkan, bukan wajib. Bagi yang betul-betul beriman, ianya satu galakan untuk merebut dan meraih redhaNya. Belum bersedia sekarang, ya! Tapi akan dilaksanakan satu saat nanti, dengan izin Allah.

Sungguh!
Perkahwinan memerlukan tanggungjawab dan pengorbanan kedua-dua lelaki dan perempuan (suami-isteri). Jika tadi, baru membayangkan keindahan perkahwinan. Kemudian, susah payah mencari dan mengumpul wang untuk perbelanjaan perkahwinan. Kemudian, nafkah pula. Bagi duit saja cukupkah untuk menjamin kebahagiaan suami-isteri? Fitrah manusia, cuba nyatakan siapa yang tak mahukan kasih sayang dan perhatian dari pasangan? Jika berdua, mungkin boleh membahagikan waktu melayan kerja dan si dia. Tapi, bila dah bertambah ahli keluarga, pembahagian kasih sayang dan perhatian menjadi sesuatu yang rumit. Tak hairanlah kalau suami mahupun isteri mencari orang lain untuk bersuka-ria. Mana perginya kemanisan berkongsi masalah dan cerita? Mana perginya bahu untuk mengadu? Mana perginya kesepakatan? Mana perginya anak-anak, makan minum, pakai, pendidikan semuanya? Mana perginya hobi memasak, mana perginya hobi bersiar-siar bersama keluarga? Sudahnya...bibik kan ada...Hm, fikir-fikirkanlah....


Sedarkah kita, wanita, kita terlalu sibuk menghitung hari memasuki hari bahagia, memakai gaun indah bak bidadari, disaksikan ribuan tetamu melihat diri kita sebagai permaisuri hari, bangga dipinang seorang lelaki sebagai suri, ingin merasai apa yang orang-orang sebelum kita rasai, iaitu sebuah nikmat perkahwinan. Tapi, sedarkah kita, di sebalik semua itu, lelaki lebih banyak memendam rasa dan seribu rahsia tentang kesukaran mencari rezeki, menanggung beban dan tekanan emosi, tapi digagahi juga. Mereka tak pernah rasa lega walaupun ikatan sudah diumumkan sah, malah makin bertambah kuat bekerja. Kerana setiap satu hari ibarat satu saat pada mereka. Menyediakan bekalan wang, pakaian, makan minum menjadi keutamaan - nafkah zahir. Setiap kelahiran zuriat, mungkin menjadi berita gembira buat kita (wanita) dan mereka (lelaki), tetapi kegembiraan mereka lebih bersifat sementara. Kerana bakal melalui ujian yang lebih berat dalam bekerja bersungguh-sungguh demi mencari rezeki. Kalau dulu, mulut hanya satu yang perlu disuap tapi kini, ada dua, mungkin esok tiga, empat...

Sungguh!
Perkahwinan itu akan menjadi mudah kalau sekiranya kedua-dua pihak lelaki dan perempuan benar-benar bersedia menghadapinya dengan ikhlas kerana Allah. Bersedia di sini bermaksud kukuh dari segi kewangan, faham tanggungjawab suami-isteri, dan menerima perkahwinan sebagai ibadat mencari redha Allah. Kerana hakikatnya sebuah perkahwinan itu, kita dikurniakan seorang sahabat yang setia, jujur, ikhlas menemani saat senang dan susah, bersama-sama memimpin satu sama lain agar selalu mengingatiNya, bersama-sama sahut cabaran menjaga amanah pemberian Tuhan, mendidik generasi keturunan Nabi supaya menjadi khalifah yang benar-benar memahami 'dunia' Islam. Keturunan inilah yang akan meneruskan usaha memimpin generasi yang seterusnya. Baik didikan yang diberikan, maka baiklah agama dan akhlaknya, dan begitulah sebaliknya.


Kalau benar seorang lelaki itu bersedia bernikah dengan kita, tak terasakah satu penghormatan telah diberikan? Setelah dia melalui berbagai-bagai kesusahan dan kepayahan demi untuk memiliki kita? Bukan saja untuk memiliki, bahkan untuk menjaga sampai akhir hayat. Setelah kita tahu semua kesusahan yang terpaksa mereka lalui, masihkah kita ingin duduk goyang kaki menunggu mereka beri wang belanja, masihkah kita ingin merungut dengan hadiah yang tak seberapa di hari jadi, masihkah kita ingin mengira kekurangan dalam rumah (perabot etc.), masihkah kita ingin marah setiap kali mereka pulang kerja lewat sedikit dari waktu biasa, masihkah kita ingin ragu-ragu dengan kesetiaan yang diberikan, masihkah kita ingin bermasam muka, masihkah....ah, banyak...Persoalannya, masihkah kita rasa kurang?

Janganlah jadi seperti seorang kenalan (rakan kepada sahabat saya) yang memutuskan pertunangannya dan berkahwin dengan seorang lelaki yang baru dikenali sebulan. Akibatnya, hidup terumbang-ambing kerana ketidakmatangan diri dalam menimbangkan satu keputusan. Yang dia mahu, hanya berkahwin. Apapun, dia patut bersyukur kerana sekurang-kurangnya, suaminya tidak menceraikannya. Walaupun suaminya itu bengis pada matanya, dia harus sedar, itulah lelaki pilihannya. Mudah-mudahan Allah beri kelembutan dalam hati suaminya, ameen...

Jadi, fahamilah mereka iaitu lelaki...Hati banyak diusik rasa was-was syaitan yang sentiasa mahukan hidup manusia porak peranda. Maka dengan itu, perbanyakkanlah doa moga Allah sentiasa lindungi mereka dan permudahkan urusan mereka.

Jadilah seperti seorang kakak (kenalan kepada sahabat saya) yang menanti jodohnya dengan sabar walaupun dilukai sebanyak tiga kali sebelum lelaki tersebut meminangnya. Keyakinan yang ada dalam hati membuatkan dia tabah dan redha menerima lelaki itu seadanya.



Bersabarlah dalam menanti jodoh. Bersabarlah 'menuju' perkahwinan. Isilah waktu yang ada dengan ilmu berkaitan perkahwinan secukupnya, fahamilah isi tanggungjawab kita. Dengan itu, sabar telah terdidik tanpa kita sedar. Bawalah diri ke arah yang baik, jangan beri satu ruang pun syaitan bisikkan rasa kecewa, putus asa, dan yang bukan-bukan, pokoknya perlu banyak berdoa. InsyaAllah, Allah permudahkan satu masa nanti. Layak tak layak, itu urusan Allah yang tentukan mana yang terbaik untuk kita.

Sabarlah untuk sekejap waktu...

-allahualam-