Tuesday, August 31, 2010
Apa yang tinggal untuk hari itu..?~
Bila dikira-kira dihitung-hitung hari-hari dalam bulan mulia, Ramadhan ini terasa sekejap sangat. Sedar-sedar dah nak dekat penghujung. Mungkin aku terasa macam ni sebab aku dah besar panjang, dah biasa pun boleh jadi faktor penyebab. Kadang-kadang bila teringat balik zaman budak-budak dulu, hehe..Abah kata "tulah, jenuh duk pujuk awak sume dulu..Kejap, kejap, kejap je lagi berbuka lah padahal lambat lagi time nya"..Ibu cuma gelak kecil, geli hati agaknya teringat kami kecil-kecil dulu. Kalau zaman dulu canggih, mau je aku simpan gambar-gambar kami dulu-dulu dalam softcopy tapi apakan daya, gambar-gambar dalam album terpaksa dibiar luput dan cair warnanya. Akhirnya tinggal kosong. Tapi aku percaya, memori takkan pernah luput (kalau dijaga dengan baik). InsyaAllah.
Sekarang aku dah besar, kata ibu bila anak perempuan dah besar, lawa. Bila anak lelaki dah besar, handsome. Kalau kami rasakan kami taklah setanding yang lain, tetap ibu abah akan kata "siapa yang tak pandang anak sendiri"...hmm..Terasa terharu.
Sekarang aku dah besar, aku fikir aku seronok bila belajar benda baru. Lakukan perkara yang wanita-wanita dewasa buat. Kalau dulu, aku tengok ibu menyapu kat ruang tamu guna penyapu lidi, aku tolong tapi masa tu kudrat aku hanyalah seorang kanak-kanak. Penyapu lidi pun lagi panjang dari tubuh ini. Kalau dulu, aku tengok ibu alihkan kerusi meja untuk menyapu di bahagian bawahnya, aku tolong tapi tenaga aku setakat manalah sangat. Nasib baik ibu abah beli kerusi yang ada roda, bolehlah gagah-gagah tolak ke sana ke mari. Kalau dulu, aku tengok ibu panjat kerusi untuk cabut langsir dan basuh. Aku teringin nak tolong tapi tinggi aku pun tak melepasi tinggi ibu, terkilan. Kalau dulu, aku paling suka bahagian mengemop, tapi ibu tak bagi. Mungkin ibu tahu, aku bukan nak mengemop tapi meluncur atas lantai yang licin. Kalau dulu, aku selalu tengok ibu masak tapi dapur terlalu tinggi. Bila ibu tak ada di rumah, aku cuba-cuba main masak-masak. Aku ingat lagi benda pertama aku masak ialah telur dadar tanpa garam, tanpa minyak, telur semata-mata. Rasa macam hangit sikit tapi tak apalah. Aku dan adik lelaki aku makan je. Masa Ramadhan, curi-curi makan dan minum susu di bilik dengan adik. Masa tu adik aku baru seorang. Memori takkan pernah luput kan? :)
Sekarang aku dah besar. Belajar berjauhan dari keluarga, kononnya nak belajar berdikari. Aku belajar duduk asrama masa umur 18 tahun. Mula-mula homesick juga. Tak pandai basuh baju pun. Masa sekolah dulu tahu basuh kasut je. Macam-macam benda yang aku rasakan susah. Nak pergi kelas lagi, nak bahagi-bahagi waktu discussion lagi, nak buat kerja 'rumah' lagi. Tapi lama-lama okay. Alhamdulillah.
Sekarang aku dah besar. Dah lalui berbagai-bagai ujian. Dari kenal kawan, sampailah kenal sahabat. Dari kenal kawan, sampailah kenal teman. Dari kenal kawan, sampailah kenal teman istimewa. Dulu jenis aku suka diam-diam. Malu kononnya tapi bila aku tengok lama-lama orang yang aku suka dimiliki orang lain, terfikir jugak, mana silapnya. Rupa-rupanya kita kena cari. Sikit-sikit aku dapat belajar apa peraturan berkenal-kenalan yang dianjurkan agama. Kata orang, kalau bulan biasa, kita mungkin suka seseorang didorong nafsu. Jadi tahanlah dulu perasaan kalau rasa perasaan tak membawa kita ke mana-mana. Baru sekarang aku kenal erti istikharah, hajat, dan petunjuk dariNya. Rasanya tak rugi buat istikharah setiap kali Ramadhan. (Solat sunat yang lain pun digalakkan kerana kita sedia maklum Ramadhan bulan mulia, boleh jadi dosa-dosa kita yang dahulu dihapuskan, mudah-mudahan).
Sekarang aku dah besar. Bermacam-macam masalah sosial berlaku. Tak perlulah aku tengok jauh-jauh. Cukuplah pada apa yang ada di sekeliling, yang dekat dengan aku. Kenapa mereka jadi macam ini? Salah didikan ibu bapa kah? Atau salah sendiri? Kalau ikut ilmuan agama, iman tipis. Kalau ikut ibu bapa, guru yang salah didik anak-anak mereka di sekolah. Kalau ikut anak-anak, mak ayah yang salah. Kalau ikut pandangan masyarakat, budak itu sendiri yang dah tak betul samalah macam perangai mak bapak dia. Hmm..anak-anak cerminan ibu bapa. Ramadhan lah hari mulia untuk bermaaf-maafan, masa yang sesuai untuk berubah, cari keampuananNya.
Sekarang aku dah besar. Bermacam-macam masalah rumahtangga yang aku lihat berlaku. Tengok sajalah yang dekat, tak perlu pergi jauh. Kata orang, bila kita nak ambil sesuatu sebagai pengajaran, ambillah sesuatu yang datangnya dari pengalaman. Bila belek-belek Qur'an, rupa-rupanya sejarah-sejarah banyak yang dah berlaku yang kita boleh ambil pengajaran, iktibar, dan pedoman. Bukan hanya pada dosa pahala, tapi pada akhlak pun ada. Kalau dulu, bila aku dengar lelaki kata nak cari perempuan yang baik saja, pasti ada suara sumbang mencelah "Kau tu memilih sangat, macamlah nanti kau dapat perempuan yang baik macam malaikat". Kalau dulu, bila aku dengar lelaki kata nak cari perempuan yang cantik dan baik, pasti ada suara sumbang berkata "Kau ni cerewet laa, kalau ada perempuan yang macam kau nak tu, nasib baiklah kau. Zaman sekarang, yang cantik pun jahat laa. Yang baik pun sama. Kau jugak yang menyesal nanti". Tapi bila fikir-fikir balik, aku takkan terkejut kalau ada lelaki yang cakap macam itu.
9:1; 1:9
9:1 - Perempuan lebih ramai dari lelaki.
1:9 - Lelaki lebih sedikit dari perempuan.
9:1 - Perempuan mempunyai 9 emosi dan 1 akal.
1:9 - Lelaki mempunyai 1 emosi dan 9 akal.
Hmm..Memandangkan bilangan lelaki yang sedikit dan wanita yang ramai, tak hairanlah kalau lelaki menjadi seorang yang cerewet dalam memilih. Apa yang aku lihat sekarang, perkara pikat-memikat kurang terjadi di kalangan yang muda-mudi tetapi kalangan mereka yang berkahwin. Yang jelas nyata, masing-masing mengikat janji setia sebagai suami isteri kerana suka sama suka. Tapi bila anak-anak dah masuk 4-5 orang, kenapa janji dulu semakin dilupakan. Malahan suami mahupun isteri dah mula berani tinggikan suara depan pasangan masing-masing di depan khalayak ramai. Kalau dulu, kononnya aib dan maruah keluarga akan dipertahankan walau diuji sekuat tornado pun tapi apa dah jadi sekarang?
Suami yang baik, sabar, tak mudah melenting selalu diambil kesempatan oleh isteri. Sampailah satu masa, bila hatinya berubah kepada yang lain, sungguh itulah ujian berat buat isteri. Ujian supaya si isteri muhasabah tentang dirinya, layanannya, tutur katanya, dan hatinya. Tapi apa yang jadi sekarang, isteri lebih suka mendedahkan keburukan suami supaya suami nampak lebih salah. Menaburkan kata-kata nista. Sehingga mengaibkan suaminya depan adik-beradik suaminya sendiri. Apalah gunanya menang sokongan adik-beradik suaminya kalau tak menang hati suaminya. -Syurga seorang isteri di bawah tapak kaki suaminya-
Suami yang baik, penyayang, bertanggungjawab seringkali dijadikan mangsa dan alasan untuk isteri mencari lelaki lain. Ini kerana suami jenis ini sangat sayangkan anak-anak, ambil berat tentang anak-anak, makan minum dan pakai anak-anak. Tapi tak bermakna dia abaikan isterinya. Apa yang terjadi, kesempatan ni digunakan isteri berkenal-kenalan dengan lelaki lain yang juga suami orang. Apalah gunanya dapat lelaki yang sedia baik, tapi tak bersyukur. Sekurang-kurangnya suami itu tidak berlaku curang.
9:1 - Wanita selalu turutkan emosi apabila membuat keputusan, merancang, berkata-kata tanpa memikirkan kesannya di kemudian hari. Wanita yang baik akan menggunakan emosi sewajarnya dengan melatih diri bersabar, menangis bila perlu, mencari Dia di kala susah senang, berfikir tentang baik buruk perbuatannya ke atas dirinya, suaminya, keluarganya.
1:9 - Lelaki selalu turutkan akal untuk 1 benda, nafsu. Menggunakan segala kemewahan, menjerat wanita dengan kata-kata indah, menjanjikan kehidupan terbaik semuanya kerana mahu dilayani nafsu. Apakah masih ada wanita yang 'buta' di luar sana? Sebaliknya lelaki yang baik akan menggunakan akal mereka sewaras mungkin. Memikirkan sedalam-dalam mungkin masa depannya dan keluarganya. Merancang sesuatu dengan teratur dan teliti. Mencari Dia bila berada dalam ujian desakan nafsu yang meronta-ronta dek perbuatan wanita. Menahan pandangan yang sia-sia. Dan berusaha menjadi lelaki yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, dan keluarga.
Mustahil semua orang sempurna. Tapi tak mustahil untuk menjadi seorang yang sempurna. Belajar menerima keadaan diri juga merupakan satu pembelajaran bukan satu kekurangan.
Ingatlah satu perkara, Allah itu Maha Adil. Belum tentu sifat marah yang kita ada, ada juga pada orang lain. Belum tentu sifat sabar yang kita ada, ada juga pada orang lain. Kalau marah lawannya marah, di mana kesudahannya? Kalau sabar lawannya sabar, di mana kesudahannya? Kalau marah lawan sabar, bagaimana? Bukankah itu satu perkara yang dikatakan pelengkap? Kebanyakan kita tak menghargai harga dan nilai semua itu. Lebih baik anggap apa yang ada pada kita ini satu kelebihan daripada satu kekurangan. Pandai-pandailah kita membahagikan semua itu mengikut keperluan situasi dan masa. Bukan membabi-buta dan sembrono.
- Jangan jadi terlalu mengikut tanpa mempersoal; jangan pula jadi terlalu mendominasi dan bersikap diktator; Islam anjurkan keseimbangan -
Ingin aku suarakan hasrat kepada mereka, berbaiklah. Takutlah dengan azab Allah. Di bulan mulia ini, hiasilah hari-hari dengan kemesraan dan kebahagiaan nikmat kurniaan Allah yang tak terhingga ini. Janganlah apabila semuanya ditarik, baru tersedar akan semua silap padahal ketika itu memang sudah betul-betul terlambat. Tuhan kurniakan akal, gunalah sebaiknya. Maka apa lagi yang tinggal untuk hari itu..kalau bukan penyesalan berpanjangan.
- Satukanlah mereka -
~ Hidup ini ibarat melalui hutan yang tebal untuk sampai ke tamannya ~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment