Setiap yang hidup, pasti akan mati. RencanaNya penuh dengan hikmah. Teringat kata seorang sahabat "Semuanya dah tertulis di atas sana", bukan hanya tentang kematian, tetapi banyak perkara yang tak tercapai dek akal manusia. Umur 15 tahun, dua kehilangan bukanlah suatu benda yang mudah diterima - pemergian datuk dan sahabat (Syukriah). Dua-dua juga tiada kesempatan bertemu walaupun hanya mencium dahi untuk kali terakhir. Teringat saat ibu menangis di tepi highway kerana pada ketika itu, van rosak. Sesampai saja di Johor, hanya tanah yang masih merah yang sempat kami tatap. Syukriah, hanya sempat kami dengarkan announcement yang dibuat di sekolah. Pilu suasana. Patutlah Syukriah tak datang sekolah.
Haiwan peliharaan, kebanyakannya mati kerana bencana alam - bah di Kuantan satu masa dulu. Mati kerana sakit berjangkit, mati kerana sampai masanya. Sayang macam manapun, semuanya dah ditentukan Allah....Redha...
Tatap gambar, teringat seorang kenalan yang pernah bertegur sapa ketika berurusan untuk tujuan menjayakan program, kalau tak silap Bro. Ikhwan namanya. Setiap kali datang untuk hantar paperwork, bila Tuan Presiden kelab tiada, dia lah yang banyak membantu. Tak siapa tahu, itu kali terakhir bersemuka. Spontan juga, teringat arwah pernah singgah solat di masjid Kampung Baru. Dia berdiri di pintu pagar sisi sambil menghubungi orang melalui telefon bimbit. Di depan saya, satu papan notis. Ada panduan menutup aurat bagi wanita, sendiri periksa diri sendiri, pemakaian.....astaghfirullahal 'azim....
Mungkin pada ketika itu, masih mengambil ringan satu notis memandangkan umur masih muda. Tapi tak dinafikan notis itu memang betul-betul menarik perhatian. 'Kos Perbelanjaan Pengurusan Jenazah', saya hanya ingat RM 180....disertakan dengan detail ke mana perginya RM 180 itu - kapur barus, kapas, kain kafan, pewangi, etc. Terkejut. Terdetik dalam hati "Mati pun perlu belanja?".
Selama ni, hanya nampak apa yang kita nampak; jenazah disembahyangkan, diusung ke kubur, dibaca talkin dan Yaasin, tanam. Titik!
Tak tahu pula semuanya itu perlukan kos. Selama ni, sepanjang pemerhatian, RM 180 tu orang gunakan untuk beli pakaian mahal-mahal, handbag dan alatan mekap bila ada sale, belanja makan yang enak-enak, pergi bersuka ria, berbelanja sana sini, tapi tak pula mereka fikir tentang persediaan 'pakaian', 'alatan mekap', amalan yang akan diperuntukkan untuk kematian. Hm, tiba-tiba saja bunyi "Mahal lah...!".
Terbaca satu perkongsian di satu laman web...
"Salam, sekadar nak berkongsi dengan rakan2. Baru2 ini aku balik kampung menziarahi kakak aku meninggal. Aku sampai di kampung (Yan, Kedah) pada jam 2.30 pagi malam selasa lalu. Setelah sampai dan selesai membaca yasin, aku pun bersembanglah dengan ayah aku. Memang beliau dalam keadaan kesedihan. Maklumlah, anaknya yang pergi dulu mengadap Ilahi.
Sambil2 sembang2 bertanyakan perjalanan arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir, aku melihat ayah aku membuat catatan (quatation).
Korek liang lahat: RM 250.00
Upah Mandi :RM 50.00
Membaca talkin : RM 60.00
Van Jenazah : RM 20.00
Keranda/kebumi : RM 500.00
Sembahyang jenazah:RM 5.00 X 250 orang: RM 1250.00
Upah angkut orang sembahyang: RM 800.00
Jumlah keseluruhan: RM 2930.00
ITULAH PERBELANJAAN yang terpaksa dikeluarkan oleh ayah aku. Alhamdulillah, kami adik beradik menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban ayah.
Apa yang aku musykilkan ialah bila aku bertanya ayah aku, apa yang aku belajar semasa kursus pengurusan jenazah di surau aku dulu ialah,Apabila berlaku sebuah kematian maka adalah menjadi tanggungjawab (farhdu kifayah) kepada yang masih hidup untuk melaksanakan perkara2 berikut:
1. memandikan
2. mengkafankan
3. Menyembahyangkan
4. Mengkebumikan.
Ayah aku menjawab, memang dah macam ni nak buat macam mana...Masa arwah tokwan hang dulu tak macam ni..semua secara sukarela kecuali korek liang lahat, mandi mayat, papan keranda. Tak tau silap tang mana! Takpalah kita niat sedekah kat depa panggu arwah..
Aku pun diamlah, malas nak cakap2 lebih2 takut terguris hati ayah aku..
so....macam mana kat tempat korang? boleh share kat sini.... Bayangkan dalam satu bulan, berlaku dua kematian dalam sesuatu keluarga, bermakna RM 2930.00 X 2= RM 5860.00 yang harus dicari dalam masa singkat...."
Hurm...melihat pula satu laman web rasmi Masjid Putra Nilai di Negeri Sembilan tentang kos perbelanjaan untuk pengurusan kematian.
KOS PENGURUSAN JENAZAH
1) Kain kapan : RM 200.00
2) Tukang mandi : RM 100.00
3) Pembantu : RM 100.00
4) Talqin : RM 50.00
5) Masjid : RM 50.00
Total RM 500....
Mencari lagi info yang boleh dirujuk. Tapi, yang ini lain sikit. Ianya keratan akhbar yang mengetengahkan pengalaman seorang sukarelawan bernama Arbakyah, 55 tahun, yang bekerja menguruskan jenazah. Apapun, tajuknya yang menarik, iaitu "RM 730 kos urus mayat normal". Perhatian: 'mayat normal' yang dimaksudkan ialah mayat yang masih sempurna anggota tubuhnya ((mati dalam keadaan biasa - bukan kerana kecelakaan)) dan kos tersebut adalah peruntukan bagi mengurus mayat lelaki. Perempuan?? Sila baca http://smktdh1975.wordpress.com/badan-agama/kos-pengurusan-jenazah-20072008/
Berbalik pada luahan yang pertama tadi, mungkin betul bila beliau mengajak untuk berkongsi tentang bajet pengurusan kematian di tempat masing-masing. Sama macam kos perbelanjaan perkahwinan, tengok saja maskahwinnya, berbeza-beza mengikut negeri, perlu dilihat pada taraf juga; puteri raja, orang kenamaan etc. Begitu juga kos kematian, yang mana berbeza-beza mengikut tempat. Bukan negeri.
Pada pandangan saya, sepanjang pemerhatian saya tentang kos kematian ni, semuanya bergantung kepada kesudian pihak masjid yang bertoleransi menetapkan kadar perbelanjaan. Sepanjang google, tak ada pula saya terbaca tentang kos kematian yang perlu mengikut kadar tertentu seperti naik turunnya harga petrol dan gula, tak ada pula sebarang akta atau hukuman sekiranya kos yang ditentukan terlalu tinggi belanjanya, tiada tindakan undang-undang akan diambil sekiranya ada aduan tentang bajet kematian yang melampau perbelanjaannya. Rasanya belum ada apa-apa berkaitan aduan yang melibatkan bajet kematian.
Kenapa pihak masjid Kampung Baru meletakkan RM 180? Kenapa di Yan, Kedah, sampai mencecah RM 2 K? Kenapa di Kuala Lumpur RM 730/ RM 780? Hanya pihak-pihak tertentu saja yang tahu.
Hukum melaksanakan tugas mengurus jenazah adalah fardhu kifayah, WAJIB...http://www.scribd.com/doc/24678683/Tuntutan-Fardhu-Ain-Dan-Fardhu-Kifayah Mungkin ada yang lakukan semuanya kerana Allah. Mungkin ada yang lakukan kerana wang. Mungkin ada yang lakukan kerana terpaksa sehingga meminta wang sekiranya mahu kerja diuruskan. Macam-macam...Allah saja yang Tahu apa yang tersembunyi dalam hati kita dan hati mereka. Jika fardhu 'ain adalah amanah yang ditetapkan untuk setiap individu ke atas dirinya sendiri - wajib, maka fardhu kifayah boleh dikatakan amanah sekumpulan ramai orang ke atas orang lain dalam kelompoknya (bergantung kepada kepakaran dan pengalaman/ ilmu yang ada) - wajib. Seeloknya, segala berkaitan bantuan, biarlah ikhlas dan keranaNya...
Bila tarikh kita lahir? Semua orang tahu walaupun baru dijangka-jangka. Bila tarikh kita mati? Semua orang tak tahu. Saya pun tak tahu bila saya akan mati. Tak ada tanda-tanda saya sakit, umur masih muda, banyak terleka, lalai dan sebagainya. Alangkah ruginya saya kalau saya tak manfaatkan kematian datuk saya, sahabat saya, haiwan peliharaan saya kesemuanya untuk tujuan beringat-ingat...Alangkah ruginya saya kalau saya tak manfaatkan waktu yang ada untuk bekerja keranaNya..Alangkah ruginya saya kalau saya meremehkan soal-soal wajib seperti solat, puasa, zakat, dan haji, berbuat baik pada ibu bapa, rakan-rakan dan saudara Muslim yang lainnya, menjaga diri dan pancaindera.....rugi...rugi....
Pada pandangan manusia biasa, mati itu percuma saja. Tapi pada pandangan manusia yang berfikir dan punya keteguhan iman serta keyakinan jitu, kematian adalah satu permulaan untuk kehidupan yang sebenar-benarnya. Mahar yang perlu dibayar untuk meraih rahmatNya dan syurgaNya adalah amalan kita di dunia.
Satu kata-kata yang pasti daripada Nabi s.a.w bilamana baginda bersabda:
"Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, Sekiranya singgahan itu terselamat, Maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas itu adalah lebih sukar lagi" [Riwayat At-Tarmizi]
http://www.scribd.com/doc/21881569/TINTA-JUMAAT-ISU-11-30-OKTOBER-2009
-allahualam-
p/s: Kalau boleh, biarlah jadi seorang yang mampu bayar kos mati di dunia dan juga di akhirat nanti...Moga dipermudahkan..-ameen-