BEAUTY & SPA (Spa Khusus untuk Wanita)
De'Wajah Beauty & Spa, Plaza Alam Sentral, Shah Alam
Pertama, jangan rasa takut sekiranya pertama kali memasuki atau mengenali tempat baru. Sekiranya anda dijemput masuk untuk diberi sepatah dua kata, turut saja walaupun pembantu-pembantu (therapist sebenarnya ya mereka) hanya mengajak "Masuklah dulu, tengok-tengok, marilah.." dengan senyuman. Gemuruh, memang ada tapi anda belum tahu benda baru (yang bakal menarik perhatian anda) di sebalik semua yang anda lihat di depan mata pada ketika itu.
Alatan mekap di atas meja sebelah, pelbagai jenis rempah di atas satu piring tanah liat, bau potpouri, lilin sana sini, lampu berwarna oren dim, pelbagai jenis produk di dalam rak almari kaca dan banting-banting yang tergantung serta ukiran-ukiran kayu meja, kerusi, lantai, dan cermin mungkin membuat anda rasa kurang selesa. Tentu anda terfikir "ini tempat orang-orang berada", "aku tak layak berada di sini" dan sebagainya, bukan? :)
Sedikit sebanyak anda akan cuba berkelakuan seperti orang berada, mengingat-ingat tentang etika duduk, anda mungkin lebihkan fokus pada cara komunikasi anda dengan pembantu spa di hadapan anda. Tapi dalam hati, anda sebenarnya berdebar-debar. Tak perlu...Anda hanya perlu jadi diri sendiri. :) Lama-kelamaan, anda akan berasa selesa. Mereka therapist, mereka tahu bagaimana nak dekatkan diri dengan anda. Percayalah...dalam masa beberapa minit saja, anda akan rasa seperti sudah lama kenal kesemua pembantu-pembantu spa di situ (atau mana-mana spa).
Kedua, andai anda masih terasa kekok, cuba belek saja apa-apa katalog yang diberi. Ya, pembantu yang menyambut anda tadi akan mula berbicara. Tanpa anda sedar, pembantu tersebut akan mula bertanya beberapa soalan yang anda sendiri akan jawab dengan panjang lebarnya. :) Jangan takut...bukan ada ilmu guna-guna pun, cuma anda saja yang berasa gementar, jadi begitulah caranya perbualan dimulakan. Mula-mula, anda ditanya. Percayalah...akhirnya nanti anda yang akan bertanya dengan banyak. :)
Ketiga, bila ditanya tentang apa yang anda risaukan tentang diri anda, jawablah sejujurnya. Kecantikan rupa paras, kecantikan tubuh badan, masalah kulit, masalah angin, penjagaan rambut, masalah bau badan dan macam-macam, luahkan saja apa yang terbuku di hati. Walaupun bukan masalah anda, mungkin anda datang ke spa adalah untuk survey bagi pihak ibu anda, kakak anda, adik perempuan anda, saudara-mara anda - jujur saja. Kenapa? Dengan cara ini, mudah untuk pembantu spa (therapist) mengenal pasti treatment terbaik untuk masalah-masalah tertentu. Bukan mereka memikirkan tentang gaji besar dengan mencadangkan pakej yang mahal, tetapi itulah yang disediakan di spa. Perkhidmatan terbaik beserta kualiti itulah yang ditekankan. Rawatan juga diberi perhatian.
Keempat, sekiranya ada term-term treatment seperti "ratus", "fringe", "hypo...", jangan segan untuk bertanya. Mereka takkan jemu melayan pertanyaan dan kerenah anda. Malah, mereka takkan kekok untuk menjelaskan bagaimana treatment dijalankan sekiranya anda ingin tahu dengan lebih lanjut. Tiada rahsia!
Kelima, buangkan rasa malu. Tenangkan diri anda. Cuba berbual-bual. Bertanya. Topik perbualan tak semestinya berkisar tentang masalah yang anda alami. Anda boleh juga bertanya tentang tempat tersebut, mengapa dibina sedemikian, tentang produk-produk kecantikan yang dipamerkan, tentang bajet, mungkin juga tentang jawatan kosong atau kriteria bagaimana yang ditetapkan syarikat untuk ambil pekerja. Apa saja. Tiada rahsia! Silap haribulan, anda mungkin orang pertama yang dapat update terbaru tentang promosi-promosi akan datang. :)
Keenam, mungkin anda akan rasa terkejut bila pembantu spa mengajak anda melihat keadaan sekeliling. Bagaimana rupanya suasana bilik spa ya? Ha...itu anda yang kena pergi dan tengok sendiri.. :)
Akhir.....berikan diri anda ruang untuk menikmati suasana baru. Di samping itu, teruskan usaha anda dalam mendalami ilmu tentang kecantikan dan penjagaannya. Bertanya dan terus bertanya. Ilmu yang bermanfaat adalah untuk dikongsi bersama. :) Enjoy yourself!!
*******
Wanita dan kecantikan memang tak dapat dipisahkan. Sehinggakan ada yang mengalami masalah kulit dan yang paling parah iaitu kanser. Semuanya hanya kerana mahu kelihatan cantik pada pandangan lelaki. Itu adalah fitrah wanita. Ingin diberi perhatian, pujian, dilayan bak puteri oleh lelaki pujaan. Salahkah wanita kerana itu? Tak...Cuma ke'obses'an yang keterlaluan yang membuatkan mereka asyik untuk kelihatan cantik dan menawan sehingga lupa tentang kesihatan. Itu saja silapnya.
Ramai yang terlalu risaukan tentang berat badan. Kulit yang mula bergaris halus dek usia yang semakin meningkat. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang dah berkahwin dan punya anak 3-4 orang atau lebih. Semakin hari, semakin menurun tahap keyakinan diri. Manakan tidak, bentuk badan tak macam anak dara lagi. Keinginan seks menurun - bimbang apa kata suami nanti, bimbang layanan kurang memuaskan. Stress. Dan macam-macam lagi.
Wahai wanita..makcik-makcik..kakak-kakak..adik-adik..Mahu tahu sesuatu?
Wajah Beri 'Nilai Pembiakan'?
Kajian terbaru mendapati lelaki selepas berkahwin lebih tertarik pada wajah pasangan berbanding susuk tubuh isteri. Kajian yang dilakukan juga membuktikan kaum lelaki secara semula jadi akan tertarik pada tubuh wanita jika mereka hanya menjalankan hubungan 'tanpa syarat' atau hubungan jangka pendek. Selain itu, kajian dari Universiti Texas menyatakan wajah wanita bergelar isteri memberikan 'nilai pembiakan' yang lebih tinggi berbanding badan. Jadi ternyata lelaki tidak hanya memandang susuk tubuh semata-mata!
Sumber: iSihat, Bil. 36, November 2010, p. 35
*******
Wahai wanita...Jagalah dirimu seadanya. Perbaikilah dirimu ke arah yang lebih baik. Cantik kamu bukan pada rupa saja. Tapi kecantikan sebenar terbias dari cantiknya hatimu.
"And those who pray, 'Our Lord! Grant unto us wives and offspring who will be the comfort of our eyes, give us (the grace) to lead the righteous.'"
[Al-Furqan: 74]
Wahai lelaki...Kamu telah mengidamkan seorang wanita yang baik agamanya, baik keturunannya, baik hartanya, baik juga keadaannya - cantik. Bila diperkenankan, maka peliharalah seeloknya.
*******
Berbalik semula pada kisah spa, spa bukan hanya untuk kecantikan tetapi juga untuk kesihatan. Jadi, saya sarankan supaya anda (wanita; baik yang berkahwin mahupun masih bujang) mendapatkan treatment sekurang-kurangnya sauna dan body massage untuk kekalkan tenaga anda. Tenaga apa? Apa kata anda cari sendiri dan jelajahlah seberapa banyak 'dunia' yang anda ingin jelajahi dan ketahui. :) Ingat...Kepuasan hanya akan diperoleh bilamana anda sendiri yang mencari untuk mengetahui sesuatu dengan lebih mendalam. Carilah jawapan untuk semua persoalan anda. Dunia moden dengan kemudahan teknologi tentu ada manfaatnya yang tersembunyi. :)
Bila dah cantik nanti, hiaslah diri dengan akhlak dan budi pekerti yang baik. Jangan lupa juga panjatkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah s.w.t kerana nikmat kurniaan usia, tenaga, sempurna sifat, dan cantik. Diri bahagia, keluarga pun bahagia. Amanlah syurga di dunia. :)
Tak salah mencuba, bukan? Ikhtiar itu satu benda yang dituntut..Selebihnya, berserahlah kepada Allah s.w.t..Jadi, akhir kata "Selamat Mencuba". :)
~ allahualam ~
No comments:
Post a Comment