Friday, September 17, 2010

Imam..~ (2)

"...Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman di antaramu, dan beramal soleh, bahawa Allah akan mengangkat darjat mereka menjadi khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi khalifah, dan Allah akan menetapkan agama mereka (Islam) yang diredhaiNya untuk mereka, dan akan menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan..." [Surah An_Nur, 24: 55]

*******


Biodata ringkas Personaliti IPT Berita Harian 9-15 Sept 2010

Nama : Syed Kamil Al-Hady Syed Md Nasser
Tarikh lahir: 6 July 1989
Keluarga : Anak ke-2 daripada 5 adik-beradik
Hobi : Membaca
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Kulliyyah Sains Kemanusiaan UIAM

Pencapaian :
1) Kaunselor Rakan Sebaya UIAM
2) Koordinator Unit
3) Pemantapan Pembelajaran Pelajar UIAM
4) Presiden Kelab Bimbingan dan Kaunseling UIAM
5) Setiausaha Persatuan Mahasiswa Sains Politik
6) Pengarah Urusan Program Ceramah Motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah
7) Pengarah Minggu Alam Sekitar Antarabangsa UIAM
8) Wakil Mahasiswa UIAM dalam Lawatan Akademik ke Surabaya, Indonesia
9) Ketua Jawatankuasa Promosi & Publisiti Minggu Ta'aruf UIAM
10) Ketua Fasilitator Kem Kecemerlangan Ilmu peringkat Pulau Pinang

Bergelar mahasiswa sains politik membuatkan Syed Kamil Al-Hady Syed Md Nasser tidak dapat lari daripada pandangan masyarakat bahawa suatu hari nanti beliau akan menjadi ahli politik.

Biarpun sedikit rimas, Syed Kamil akhirnya akur, malah berusaha mengubah persepsi itu agar masyarakat mengetahui potensi kerjaya berkenaan bukannya terbatas sebagai ahli politik, sebaliknya mampu bergelar duta mahupun pensyarah.

Kini berada pada tahun dua pengajian di Kulliyyah Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), lulusan aliran sains itu sedar ia bukannya mudah, lantas beliau cenderung bergaul dengan kelompok masyarakat bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai program itu.

"Saya lahir di Kota Bharu dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Perbezaan pergaulan antara masyarakat luar bandar dengan bandar banyak memberi pengalaman kepada saya dan ia sesuatu yang menyeronokkan.

"Apabila membuat keputusan memilih sains politik, saya tidak menoleh ke belakang lagi biarpun ada rakan yang mempertikaikan pilihan saya.

"Mereka berasakan saya sepatutnya memilih pengajian berteraskan sains sesuai dengan kelulusan pada peringkat sekolah. Namun, saya tekad kerana minat untuk bersama-sama masyarakat," katanya.

Mendapat sokongan penuh keluarganya, Syed Kamil berasakan bidang sains politik serasi dengan dirinya apatah lagi berada di UIAM yang mempunyai persekitaran bersifat global.

Katanya, peluang belajar dan bergaul dengan rakan tempatan dan antarabangsa membuka mindanya agar tidak terus terkepung dalam dunia sendiri.

"Saya banyak belajar dari persekitaran luar dan berada di UIAM cukup menyeronokkan kerana saya dikelilingi rakan pelbagai bangsa dan budaya. Peluang ini wajar dimanfaatkan dan sebagai mahasiswa, kita perlu berani serta tidak menjadikan kekangan komunikasi sebagai alasan untuk tidak bergaul dengan mahasiswa antarabangsa.

"Saya juga aktif dalam pelbagai aktiviti baik pada peringkat kulliyyah, kolej mahupun universiti. Kebanyakan aktiviti yang saya ikuti menjurus kepada aktiviti kesukarelawan, komuniti dan pendidikan," katanya.

Kesibukan aktiviti bagi Syed Kamil tidak sama sekali menggugat tumpuannya dalam bidang akademik. Beliau juga percaya kebijaksanaan mahasiswa menguruskan masa dapat membantu mereka mengekalkan kecemerlangan dalam akademik mahupun kokurikulum.

Menyimpan impian bergelar duta, Syed Kamil berhasrat meneruskan pengajian pada peringkat sarjana dengan pengkhususan dalam bidang perhubungan antarabangsa dan berharap pendedahan diperoleh di universiti mampu mempersiapkan dirinya meneroka cabaran kerjaya sebagai duta suatu hari kelak.

Oleh: Khairina Yasin
Personaliti IPT, Berita Harian Varsiti, Bil 35 (9-15 September 2010)

*******


~ Bak kata Nowseeheart..."Rancang dengan apa yang ada di tangan, bukan yang kita angan-angankan.." untuk membina cita-cita dan merealisasikan impian.~

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia (supaya) kamu menyuruh dengan ma'aruf dan mencegah dari kemungkaran serta beriman kepada Allah..." [Surah Ali-Ilmran, 3: 110]

Sebagai seorang da'ie seharusnya mempunyai sifat sabar, penuh hikmah, contoh dan tauladan yang baik, lemah lembut, ramah-tamah dan kasih sayang; bersifat jelas dalam menanamkan kebesaran Allah s.w.t dan mencintai sunnah Rasulullah s.a.w; menyeru manusia supaya hormat-menghormati, nasihat menasihati, dan memuliakan saudaranya yang lain di samping ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.

Maksud "hikmah dalam berdakwah" - mengajak dengan cara yang paling baik, tidak menyakiti hati orang lain, apalagi mendedahkan keburukan atau menimbulkan keaiban orang lain. Zahirkan kebaikan, kebaikan akan tersebar.

Hadrat Umar r.a pernah berkata: "Kebaikan mana yang ingin kamu sebarkan hendaklah kamu perkatakan dan keburukan mana yang ingin kamu lenyapkan hendaklah kamu diamkan".

Sumber: Tafsir Mahmud Yunus Al-Qur'an Nul Karim Rasm Uthmani

- allahualam, fikir-fikirkanlah -

~ Janji Allah itu pasti tiba tepat pada masanya, keadaannya, dan ke atas hamba yang dikehendakiNya ~

No comments:

Post a Comment