Wednesday, December 16, 2009

Sebagai W A N I T A , aku patut tahu..



Dari Forum Ukhwah « Yang Tersirat dr Yang Tersurat


Wahai engkau seorang wanita,

Antara bertudung dengan tidak bertudung, yang manakah menjadi pilihan hati? Jika kalian memilih bertudung, berbahagialah kerana kalian masih terpimpin di jalan syariat Allah. Malang jika kalian memilih tidak bertudung, kerana orang yang janggal untuk menunaikan syariat Allah sebenarnya masih belum pasti petunjuk untuknya.

Apabila sudah bertudung, kini ada pula yang menyoal, tidak cukupkah memakai kain yang menutup kepala? Mengapa perlu dilabuhkan sehingga menutupi bahagian dada? Bukankah cara pemakaian seperti itu kelihatan seakan-akan kuno dan ketinggalan zaman? Nah! Apabila diajukan dengan soalan-soalan sedemikian, ana teringat kepada pengajaran seorang ilmuwan yang menyentuh bab aurat wanita dan difokuskan kepada menutup kepala (bertudung).

Ilmuwan itu berkata: Sesungguhnya tudung wanita itu ada tiga. Pertama, tudung Yahudi, kedua, tudung Nasara (nasrani) dan ketiga tudung muslimat.

Wahai guruku, jelaskanlah kepadaku kerana aku tidak pernah mendengar hal yang sedemikian, soal salah seorang mustami di hadapannya.

Pertama, tudung Yahudi. Wanita Yahudi memakai tudung juga, tetapi lebihan kain di depan semuanya dilempar ke belakang. Kedua, tudung Nasara. Wanita Nasara pun lebih dahulu memakai tudung juga, tetapi tudungnya terlalu singkat, sehinggakan bonggol unta masih kelihatan. Dan yang terakhir tudung muslimat, wanita muslimat memakai tudung berpandukan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31. Kemudian ilmuwan itu membaca sebahagian ayat itu.

Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. DAN HENDAKLAH MEREKA MENUTUPI KAIN TUDUNG SEHINGGA KE DADANYA, dan janganlah menampakkan perhiasannya...... ila akhirul ayah.....

Subhanallah...!!!

Maha Suci Allah yang telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk dan penyuluh kehidupan hamba-hamba-Nya. Inilah dalil naqli yang utama yang menerangkan dengan sejelas-jelasnya stail, gaya, dan fesyen tudung yang perlu dipakai oleh muslimat.

Dengan prinsip wasotiah, tidaklah Islam itu memaksa para wanita dengan satu cara pemakaian tudung yang tertentu. Wanita sebenarnya bebas memilih tudung yang sesuai dengan dirinya. Tetapi wanita muslimat wajib memastikan bahawa tudung yang dipakainya memenuhi tuntutan syariat dan tidak sesekali menyamai gaya tudung wanita Yahudi mahupun wanita Nasrani. Demikian sabda Nabi s.a.w. yang mafhumnya, janganlah kita menyamai kaum Yahudi dan kaum Nasrani. Sehinggakan Rasulullah s.a.w. ada menganjurkan para sahabatnya agar membela janggut dan memotong misai kerana menyalahi gaya orang Yahudi dan Nasrani yang membela misai dan memotong janggut.


Wahai saudara-saudaraku muslimat yang mulia,

Ada juga kedengaran suara-suara sinis yang mengata dan mencemuh orang-orang yang memakai hijab. Cemuhan itu datang akibat daripada tindakan segelintir wanita bertudung yang tidak menjaga akhlak dan perilaku mereka. Tidaklah sukar untuk mengakui bahawa memang ada segelintir kecil wanita muslimat yang memakai tudung tetapi tidak sempurna penutupan dan pemeliharaan aurat mereka.

Wanita harus mengerti bahawa, aurat yang perlu ditutup dan dipelihara bukan sekadar rambut yang menjadi mahkota wanita itu tetapi juga biarlah akhlak dan tingkah mereka juga dipelihara selaras dengan akhlaqul Islam.


Saudara-saudaraku,

Kalau ada wanita bertudung yang tidak bermoral, jangan gusar. Janganlah sesekali ada rasa aneh di hatimu. Yakinlah bahawa ada kebaikan itu kerana adanya keburukan. Sesungguhnya dinamakan suci itu kerana adanya najis. Demikian adanya pahala itu kerana wujud juga dosa. Sunnatullah sudah menentukan begitu adanya keadaan ciptaan-Nya.

Kemudian, akan kedengaran pula suara-suara sinis yang berkata, Ala..., pakai saja tudung.... tapi perangai.... eee... teruk...! Kemudian menyambung yang lain dengan hujah, Pakai tudung pun perangai macam tu lebih baik tak payah pakai tudung.... Masya Allah..., sungguh yang berkata begitu pula memang yang tidak bertudung.

Lalu saudara-saudaraku wanita yang budiman; perlukah kita menerima sindiran dan hujah orang-orang yang tidak menjalankan syariat Allah itu? Apakah perlu kita melayan kata-kata orang yang tidak mencintai syariat Allah itu? Mengapa perlu tergugat pendirian kita kerana kata-kata orang yang jauh daripada petunjuk itu?

Sungguh janganlah kalian terpedaya dan terpesona dengan hujah mereka yang dangkal itu. Yang menganggap apa gunanya bertudung jika perangai tetap buruk. Tetapi hendaklah kalian berbangga kerana kalian menjalankan perintah Allah. Mengapa harus berasa malu dalam menjalankan syariat Allah?


Saudara-saudaraku,

Orang yang mendedahkan aurat mereka tidak sedikit pun berasa malu menentang hukum Allah. Lalu mengapa kita yang sedang menjalankan syariat Allah ini perlu berasa malu? Orang yang ke hulu ke hilir dengan aurat terbuka tidak merasa apa-apa. Mengapa kita yang sentiasa berusaha memelihara diri ini merasa janggal dan terasing di bumi Allah?

Berbahagialah dan tenteramkan hatimu wahai wanita-wanita yang beriman. Tidak ada yang perlu digusarkan dengan hujah, sindiran mahupun celaan wanita-wanita tidak bertudung sempurna kepada wanita yang bertudung sempurna.

Seandainya di kalangan wanita yang bertudung itu pun ada yang tidak menjaga kehormatan diri, sedarlah jua bahawa di kalangan wanita yang mendedahkan aurat lebih banyak lagi yang tidak menjaga kehormatan diri. Malahan, jika hendak disebut secara mudah, pendedahan aurat itu juga satu cara mencela kehormatan diri sendiri.

Rasul s.a.w. berpesan dalam khutbahnya yang terakhir, ittaqun-nisa yang bermaksud; lindungilah wanita.

Tetapi hari ini, kita boleh lihat ramai di kalangan wanita sendiri menyediakan diri mereka untuk dieksploitasikan oleh pihak-pihak yang jahil dan tersesat. Iklan-iklan di media massa contohnya, terang-terangan menjadikan wanita sebagai bahan pertunjukan untuk melariskan jualan produk-produk golongan kapitalis tersebut. Lalu, di manakah maruah wanita itu sebenarnya diletakkan? Adakah kerana ramai yang menganggap pendedahan aurat itu satu keperluan di zaman moden ini, maka kalangan wanita yang bertudung perlu merasa kecil diri dan rendah hati? Tidak!


Wahai wanita muslimat yang bertudung,

Dunia sentiasa molek di mata yang jahil. Tetapi kalian wanita yang beriman tidak perlu terpesona dengan kemolekan dunia. Sudah barang tentu kemolekan dunia terkandung bersamanya tipu daya yang menghancurkan akhirat kalian.

Orang yang paling bodoh bukanlah orang yang jahil, tetapi orang yang paling bodoh adalah orang yang mencintai dunia dan melupakan akhirat. Sedangkan dunia itu fana dan akhirat itu kekal abadi.



http://mamat-cyber.blogdrive.com/archive/5.html

No comments:

Post a Comment