Saturday, December 12, 2009

Pondering....



Sepinggan Dosa Berulam ‘Pahala’

Sesungguhnya saya gusar malam ini. Saya telah menerima email dari seorang muslimah dan saya menggunakan istilah muslimah untuk mengistilahkan dirinya di alam realiti.

Namun masalah yang muslimah ini hadapi menjadikan saya sugul.

Percaya atau tidak, kes sepertinya sudah amat banyak yang sampai kepada email saya secara anonimus. Supaya warga kampus bangun mencelikkan mata, saya perturunkan salinan email jawapan saya kepada muslimah tersebut (secara anonimus), untuk muhasabah pembaca sekalian.

Kepada Allah juga saya mohon petunjuk dan perlindungan…

Assalamualaikum WBT.

Terdiam ustaz membaca email ukhti.

Kerana ini adalah email yang entah ke berapa menceritakan kes yang sama.

Percaya atau tidak, kes seperti ini semakin menular di kalangan generasi ukhti, sekurang-kurangnya pada apa yang sampai ke pengetahuan ustaz. Ustaz perlukan banyak masa untuk merenung dan berfikir, di manakah silapnya.

Antara kes sebelum ini, seorang muslimah berjubah dan bertudung labuh sangat mengasihi teman lelakinya. Jam 4 pagi, beliau menghantar sms mengingatkan teman lelakinya agar bangun bertahajjud… tetapi kemudian rahsianya terbongkar bahawa muslimah itu sebenarnya adalah ISTERI ORANG.

Semakin ramai siswa dan siswi cuba menjustifikasikan bahawa cinta mereka adalah suci kerana mereka ber’sms’ hal-hal iman dan amal, sedangkan yang terangsang bukanlah keinginan untuk beribadah, tetapi gelodak nafsu yang licik menipu.

Ustaz tak tahu nak start dari mana. Tetapi subjek utama dalam masalah ini adalah diri ukhti sendiri. Bukan soal teman lelaki ukhti, bukan soal apa yang Allah qadha dan qadarkan ke atas ukhti, bukan bakal anak yang nanti terkesan oleh dosa yang sedang dilakukan hari ini. Semuanya adalah persoalan diri ukhti sendiri. Sama ada ukhti mahu mengubah keadaan ini atau tidak. Itu sahaja.

Jika ukhti benar-benar mahu bertaubat, taubat dari belenggu dosa seperti ini harus disertakan dengan hijrah. Jika setiap kali bertemu dengan si dia mengingatkan ukhti kepada dosa yang ‘manis’ itu, maka ukhti mesti jujur dalam menilai. Apatah lagi ia bukan hanya soal perasaan. Ia adalah perasaan yang sudah direalisasikan oleh zina kecil sebelum Zina besar sebagaimana yang ukhti jelaskan. Maka ia bukan lagi soal mainan perasaan. Kalian berdua saling menjadi punca maksiat kepada satu sama lain.

Jika hubungan ini diteruskan, ukhti dan teman itu akan memikul kesannya di kemudian hari.

Rumahtangga yang dibina selepas banyak kemaksiatan dan keterlanjuran, akan dihukum oleh Allah dengan perasaan syak wasangka yang bakal menyelubungi perkahwinan itu. Masing-masing telah berjaya membuktikan bahawa Allah ‘telah kalah’ dalam perhubungan antum.

Maka, di masa depan nanti, suami akan sentiasa berfikir, jika ukhti berani melawan Allah bersamanya, apa lagi yang mampu menyekat ukhti dari melakukan perkara yang sama dengan lelaki lain. Ukhti juga akan berfikir, jika dia pernah berani beberapa kali membelakangkan Allah dalam perhubungan ini bersama ukhti, apa yang boleh menghalangnya dari melakukan perkara yang sama dengan perempuan lain.

Inilah yang ustaz temui di sepanjang pengalaman hidup, bertemu dengan pasangan yang pernah berdosa sebelum berumahtangga. Amat berat hukuman Allah apabila sebuah rumahtangga dibina tanpa kepercayaan di antara satu sama lain. Ia adalah hukuman dunia sebelum hukuman Akhirat.

Jika ukhti dan si dia masih bertarung dengan perasaan, maka ustaz boleh menasihati agar kalian saling berusaha untuk menjaga diri dan mempercepatkan perkahwinan. Tetapi ukhti dan si dia sudah saling bersentuhan, maka sama ada segeralah berkahwin, jika berani berdepan dengan risiko itu (mudah-mudahan terhindar dengan taubat bersama yang benar-benar tulen) atau saling berhijrahlah antum dengan meninggalkan satu sama lain, sejauh mungkin. Mulakan hidup baru dan mohonlah petunjuk dari-Nya.

Ustaz bersimpati dengan gelora yang ukhti hadapi tetapi ustaz enggan menghulurkan simpati itu andai ia menyebabkan ukhti mendapat ketenangan kerana tidak ada sumber penyelesaian kepada konflik ini kecuali taubat dan hijrah.

Lelaki dan perempuan yang baik bukanlah yang memakai kosmetik Islam pada sms berbau Islam atau pakaian berwarna Islam, tetapi pada kekuatan menghalang diri dari saling mengotorkan pasangan dengan maksiat. Betulkan kembali penilaian ukhti terhadap si dia yang ukhti katakan ‘baik’.

Sesungguhnya cabaran selepas berkahwin adalah jauh lebih berat berbanding dengan sekadar cabaran mengelak dari zina sebelum kahwin. Jika ini pun gagal, muhasabahlah diri segera sebelum melangkah ke usia dewasa yang lebih mencabar itu.

Ustaz doakan ukhti beroleh kekuatan dan petunjuk dari Allah untuk menyusun kembali kehidupan. Maaf andai bahasanya pahit, tetapi dalam pahit itu selalu ada penawarnya.
Tiada siapa yang mampu membantu ukhti kecuali ukhti sendiri sebagai tuan empunya badan dan kehidupan.

Salam dan doa dari ustaz.

ABU SAIF


Membaca bukan sekadar suka-suka. Aku tertarik dengan kata-kata dalam balasan email ustaz ni. Tarikan antara lelaki dan wanita itu sendiri sudah menjadi satu bukti maksiat. Senang sangat nak dapat dosa, tapi susah nak cari pahala...Kadang-kadang kebaikan yang semudah dan seringkas berwudhu' itu yang mana dengan berwudhu' sahaja, kita dah dapat pahala, itu pun sangat susah orang nak buat..hmm..

~ Allahualam ~

No comments:

Post a Comment